HeiTech Padu capai penyelesaian RM7 juta dengan PERKESO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HeiTech Padu capai penyelesaian RM7 juta dengan PERKESO

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 April – HeiTech Padu Bhd telah mencapai penyelesaian berhubung pertikaian kontrak dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi persetujuan pembayaran berjumlah RM7 juta.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata penyelesaian berkenaan direkodkan melalui penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh mana-mana pihak.

 

Menurut HeiTech Padu, jumlah penyelesaian tersebut akan dibayar dalam 28 ansuran bermula 28 Mei 2026.

 

 

 

 

 

 

“Syarikat tidak menjangkakan penyelesaian ini akan memberi kesan buruk yang material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan,” katanya.

 

Pertikaian itu berpunca daripada saman yang difailkan PERKESO pada Februari 2023 susulan dakwaan pelanggaran kontrak sistem aplikasi pengurusan skim yang telah ditamatkan pada Jun 2021.

 

PERKESO sebelum ini menuntut sebanyak RM23.36 juta, meliputi bayaran balik kontrak RM8.49 juta, ganti rugi ditentukan berjumlah RM984,783.33 serta RM16.89 juta bagi kerugian perbelanjaan sistem.

 

Dalam masa sama, HeiTech Padu turut mengemukakan tuntutan balas sebanyak RM14.88 juta, termasuk RM6.62 juta berkaitan penamatan kontrak secara unilateral, RM6.54 juta bagi kerugian susulan penamatan serta RM1.73 juta bagi kerja tambahan dan pembekalan berkaitan.

 

 

 

 

 

 

Untuk rekod, HeiTech Padu memperoleh kontrak berkenaan pada Mac 2019 dengan nilai RM23.33 juta.

 

Sementara itu, saham HeiTech Padu ditutup tidak berubah pada RM1.50 semalam, dengan permodalan pasaran sekitar RM244.48 juta. - DagangNews.com