KUALA LUMPUR 12 Mei — HE Group Berhad masih perlu meraih kontrak sekitar RM50 juta bagi mencapai sasaran pengisian semula buku tempahan RM200 juta yang ditetapkan pada tahun kewangan 2026.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), jumlah berkenaan tidak mustahil dapat diraih selepas kumpulan itu semalam memperoleh projek pembinaan pencawang elektrik bernilai RM86 juta di Selangor.
Tender baharu diterima anak syarikatnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd itu melonjakkan nilai buku tempahan terkumpul kepada RM150 juta setakat 11 Mei 2026, naik 77% berbanding suku keempat FY25.
Firma itu berkata, HE Group masih ada ruang pertumbuhan kukuh disokong kontrak aktif bernilai RM914 juta yang menyumbang kepada aliran tender baharu dalam tempoh terdekat selain perluasan pasaran.
“Kontrak ini berada dalam jangkaan sasaran pengisian semula buku tempahan FY26 sebanyak RM200 juta, justeru kami mengekalkan unjuran pendapatan tanpa perubahan,” kata PublicInvest dalam analisisnya.
Subsidiari HE Group itu memperoleh surat penganugerahan (LOA) bagi projek pembinaan pencawang baharu berkapasiti 132kV/33kV yang bermula serta-merta dan dijadualkan siap pada 31 Oktober 2027.
Artikel berkaitan: HE Group raih projek pencawang RM86 juta di Selangor
Projek itu dipercayai diberikan secara terus oleh pelanggan baharu yang berkemungkinan merupakan pengendali pelabuhan, walaupun jenis bangunan bagi pengguna akhir belum diumumkan secara rasmi.
PublicInvest berkata, prospek kumpulan itu terus dipacu struktur jangka panjang oleh banyak projek yang berkaitan pusat data (DC), semikonduktor dan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Selain itu, HE Group sedang meneroka peluang dalam segmen sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta perluasan pasaran ke Indonesia dan Thailand bagi meneroka pertumbuhan DC serantau," jelasnya.
Berdasarkan situasi tersebut, ia turut berpandangan campuran buku tempahan yang lebih tinggi margin itu mampu membantu kumpulan dalam mengimbangi sumbangan perlahan daripada sektor semikonduktor.
Pada masa sama ujar PublicInvest, syarikat berkenaan kekal berhati-hati terhadap turun naik harga tembaga memandangkan kabel dan wayar tenaga merupakan bahan mentah utama operasi kumpulan.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'outperform' terhadap saham HE Group dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 54 sen sesaham, disandarkan penilaian 14 kali pendapatan sesaham (EPS) FY27. - DagangNews.com








