HCK Capital perjelas usaha sama pembangunan bercampur di Cheras bernilai RM600 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HCK Capital perjelas usaha sama pembangunan bercampur di Cheras bernilai RM600 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Sept – HCK Capital Group Berhad tampil menjelaskan perjanjian usaha sama (JVA) melalui anak syarikatnya Trilink Essential Sdn Bhd (TESB) dengan Bongsor Development Sdn Bhd (BD).


Ia merujuk pembangunan projek bercampur atas sebidang tanah pegangan bebas di Pekan Cheras, Daerah Hulu Langat, Selangor dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM600 juta.


Tanah yang berkeluasan 68,671 meter persegi itu sedang dalam proses pemindahan hak milik kepada BD, selepas menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan pemilik asal pada 4 Julai 2025.


Kata HCK, notis daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih ditunggu untuk memuktamadkan pendaftaran pemilikan dengan rangka JVA menyaksikan beberapa perkara yang ditetapkan bersama.


"Antaranya TESB menanggung kos pembangunan termasuk pembinaan, pemasaran dan pematuhan, manakala BD menyumbang tanah dan menanggung 40% premium penukaran tanah," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Sebagai balasan, BD akan menerima 30% dalam bentuk tunai dan 70% dalam bentuk unit hartanah siap, dan jika GDV melebihi RM600 juta, BD akan menerima tambahan 14.5% daripada lebihan berkenaan.

 

Artikel berkaitan: HCK Capital jalin usaha sama pembangunan hartanah bernilai RM600 juta di Cheras


HCK menambah, bayaran tunai pertama sebanyak RM3 juta dibuat kepada BD ketika menandatangani JVA, tetapi sekiranya JVA gagal disempurnakan, bayaran itu perlu dipulangkan dalam masa tiga bulan.


Pembangunan kini dalam fasa perancangan dengan anggaran permohonan kelulusan kepada pihak berkuasa dari suku pertama 2026 hingga suku keempat 2027, manakala pembinaan dijangka bermula selepas itu.


"Projek mematuhi tempoh 36 bulan pembinaan seperti di bawah Akta Pemajuan Perumahan 1966 (HDA) dengan melibatkan pelbagai pihak berkuasa dalam kelulusan termasuk Pejabat Daerah," katanya.


Harga indikatif tanah ditetapkan RM150 sekaki persegi, selaras penilaian pasaran bagi kawasan pembangunan sekitar Cheras dan ini memberikan nilai keseluruhan tanah sekitar RM110.9 juta.


Bagaimanapun, terdapat risiko jika BD gagal memperoleh pemilikan rasmi tanah, yang boleh menyebabkan pembatalan JVA dan untuk itu, TESB menetapkan beberapa syarat perlindungan.


Buat masa ini, HCK tidak melantik penilai bebas memandangkan projek ini berada dalam operasi biasa kumpulan dan melalui penilaian dalaman, namun Lembaga Pengarah sedia mempertimbangkan perkara itu.


"Usaha ini demi memastikan urus niaga secara adil dan memberi nilai kepada syarikat, manakala perkembangan ini menandakan langkah strategik HCK menambah aset pembangunan hartanah," katanya.


Ini terutama di pelbagai lokasi yang strategik sekitar Lembah Klang, dengan struktur perkongsian yang meminimumkan risiko modal permulaan kepada kumpulan berkenaan. .- DagangNews.com