Hasil YTL Power hampir cecah paras terendah akibat margin lemah anak syarikat di Singapura, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil YTL Power hampir cecah paras terendah akibat margin lemah anak syarikat di Singapura, kata CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 April — Hasil YTL Power International Berhad dijangka hampir mencapai paras paling rendah susulan kelemahan margin berterusan daripada anak syarikatnya, PowerSeraya di Singapura.


Menurut CGS International (CGSI), prospek pendapatan syarikat itu namun dilihat mula menunjukkan tanda pemulihan didorong pengembangan projek pusat data (DC) dan potensi aset baharu di Malaysia.


Firma penyelidikan itu berkata, semakan turun unjuran keuntungan sebanyak 21% hingga 29% bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 dalam tempoh 12 bulan lalu banyak dipengaruhi margin PowerSeraya.


“Walaupun risiko pendapatan jangka pendek masih kekal, kami percaya keuntungan bersih YTL Power adalah stabil menjelang FY27 sebelum kembali berkembang sekitar 22% pada FY28,” katanya dalam nota.


Tambah CGSI, profil hasil kumpulan kini semakin kukuh apabila sumbangan berasaskan kontrak dan kawal selia dijangka naik kepada 55% daripada keuntungan selepas cukai (PAT) menjelang FY28.


Antara pemacu utama jelasnya, ialah pengembangan DC yang semakin pesat, dengan kapasiti tambahan sekitar 200 megawatt (MW) setahun dan sasaran kapasiti mencecah hampir 1 gigawatt menjelang 2030.

 

YTL Power_DagangNews


Ia menganggarkan kapasiti sedia ada 278MW mampu menjana RM390 juta keuntungan tahunan mulai FY28, manakala setiap tambahan 200MW akan menyumbang RM300 juta kepada keuntungan bersih YTL Power.


"Selain itu, operasi utiliti air di Britain menerusi Wessex Water turut dijangka menyumbang kepada kestabilan pendapatan selepas kelulusan kenaikan tarif asas oleh pihak pengawal selia," kata CGSI.


Di Malaysia pula, kumpulan itu dalam kedudukan baik memperoleh projek loji jana kuasa gas baharu berkapasiti 1.4 gigawatt yang berpotensi menjana keuntungan bersih tahunan mencecah RM300 juta.


Susulan peningkatan kualiti pendapatan itu, firma penyelidikan tersebut menaik taraf saham YTL Power kepada 'tambah' daripada 'pegang' sebelum ini dan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM4.60.


Ujarnya, peningkatan sumbangan daripada DC dan operasi yang terkawal selia menjadikan pendapatan syarikat itu lebih stabil serta mengurangkan pergantungan kepada pendapatan yang tidak menentu.


"Kami namun mengingatkan risiko utama masih tertumpu kepada kelewatan pengembangan DC, margin PowerSeraya yang lemah serta isu tekanan inflasi berterusan di Britain," katanya. - DagangNews.com