Hasil Westports dikhuatiri terjejas akibat konflik Israel-Iran, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Westports dikhuatiri terjejas akibat konflik Israel-Iran, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Jun — Hasil Westport Holdings Berhad dikhuatiri kemungkinan terjejas disebabkan konflik semakin tegang antara Israel dan Iran sejak 13 Jun 2025 serta mengancam aktiviti perkapalan serantau, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun operator berkenaan diramal memperoleh manfaat daripada kenaikan tarif pelabuhan, tetapi risiko geopolitik di Asia Barat itu menjejaskan laluan pelayaran antarabangsa.


Tambahnya, perkembangan ketegangan yang berterusan di rantau berkenaan boleh mengganggu operasi perdagangan melalui laut terutama minyak dan gas (O&G) akibat potensi kesesakan teruk pelabuhan berhampiran zon konflik itu.


“Walaupun daya tahan ekonomi Asia dan peralihan perdagangan serantau boleh mengurangkan kesannya, tahapnya masih tidak diketahui sehingga tarif perdagangan berjalan lancar,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Ia merujuk tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) dijangka mendorong kepada inflasi, berpotensi memperlahankan momentum ekonomi global dan melembapkan volum perdagangan sekiranya diteruskan semula pada 8 Julai 2025.


Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah meluluskan kenaikan tarif secara berperingkat sebanyak 30 peratus untuk seluruh Pelabuhan Klang termasuk Westports sendiri, berkuat kuasa dari 15 Jun 2025 hingga Januari 2027.


RHB Research berkata, susulan situasi semasa, ia menyemak semula ramalan pendapatan yang meningkat dan menyatakan kumpulan itu masih mengekalkan unjuran pertumbuhan kontena konservatif sebanyak 0% hingga 5%.


Sehubungan itu kata firma tersebut, pendapatan Westports diramal dapat meningkat sebanyak 11% untuk FY25 dan FY26, serta 13% untuk FY27, dengan harga sasaran (TP) yang disemak semula kepada RM4.90 sesaham.


Sementara itu, CIMB Securities berkata pelarasan tarif adalah positif untuk Westports, kerana segmen kontena membentuk 85.5% daripada hasil tahun kewangan 2024 dan tiba pada masa sesuai untuk pengembangan Westports 2.

Ia menjangkakan peningkatan hasil secara beransur-ansur, dengan hanya kira-kira 25% daripada kontrak pemindahan penghantaran diperbaharui setiap tahun, kerana kebanyakan manfaat akan menjadi kenyataan pada separuh kedua 2025.


Firma itu menaikkan unjuran perolehan Westports sebanyak 8% kepada 22% untuk FY25 hingga FY27, dan TP yang lebih tinggi sebanyak RM5.10 sesaham, mengunjurkan hasil meningkat sebanyak 7% hingga 15% daripada tarif yang lebih tinggi.


"Bagaimanapun, kami menandakan tekanan jangka pendek pada volum pintu masuk apabila aktiviti perkapalan antarabangsa melaraskan kapasiti sebagai tindak balas kepada peningkatan kos," kata CIMB Securities dalam nota kajian.


Daripada sejumlah 19 firma penyelidikan yang menilai saham Westports, sebanyak 10 menetapkan saranan 'beli' manakala sembilan dalam cadangan 'pegang' dengan TP secara purata selama 12 bulan ialah RM5.09 sesaham.


Kementerian Pengangkutan meluluskan semakan tarif untuk Lembaga Pelabuhan Klang pada 13 Jun 2025 dengan caj pengendalian untuk kontena meningkat sebanyak 15% kepada RM345 berbanding RM300, berkuat kuasa 15 Jun 2025.


Ini akan diikuti dengan kenaikan kira-kira 10% lagi kepada RM375 berkuat kuasa 1 Januari 2026, dan kenaikan 5% yang terakhir kepada RM390 berkuat kuasa 1 Januari 2027. 


Secara keseluruhan, langkah itu mencerminkan kenaikan tarif 30% terkumpul menjelang Januari 2027, yang secara amnya sejajar dengan pusingan sebelumnya kenaikan tarif kontena dan dilaksanakan antara 2015. - DagangNews.com