Hasil Teo Seng dikhuatiri jatuh 20% selama 2 tahun akibat pemansuhan subsidi telur – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Teo Seng dikhuatiri jatuh 20% selama 2 tahun akibat pemansuhan subsidi telur – PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 NovTeo Seng Capital Berhad dijangka berdepan penurunan hasil purata 20% dalam tempoh dua tahun kewangan akan datang susulan penghapusan penuh subsidi telur oleh kerajaan.


Menurut Public Investment Bank, pemansuhan yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025 itu, namun dijangka mencatatkan pemulihan semula keuntungan dalam anggaran sekitar 6% pada tahun kewangan 2027.


Tambah firma penyelidikan tersebut, perkembangan positif berkenaan disebabkan kemungkinan faktor peningkatan permintaan telur di pasaran dan kecekapan operasi semakin baik setelah lebih setahun.


"Sebagai antara pengeluar telur terbesar di Malaysia dengan kapasiti 4.5 juta biji sehari, Teo Seng mencatatkan prestasi luar biasa dalam tempoh empat tahun lalu," katanya dalam satu nota hari ini.


PublicInvest merujuk kepada keuntungan bersih teras syarikat penternakan itu yang mampu melonjak dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 157% bagi tempoh FY20 sehingga FY24.


Lonjakan itu jelasnya, banyak disumbangkan oleh peningkatan kapasiti pengeluaran, pengukuhan ringgit yang menurunkan kos makanan haiwan, serta subsidi kerajaan berjumlah RM91 juta pada FY24.


Ia menjelaskan pemansuhan subsidi dijangka memberi kesan ketara keuntungan jangka pendek, namun inisiatif dalaman syarikat meningkatkan kecekapan operasi dan jualan akan mengurangkan kesannya.


“Kami menjangka prestasi Teo Seng normal semula selepas fasa pelarasan subsidi, dengan pemulihan bermula FY27 dipacu permintaan kukuh dalam pasaran tempatan dan eksport,” jelas PublicInvest.


Kumpulan itu kini menguasai antara 18% hingga 20% pasaran telur di Singapura dan beroperasi dalam dua segmen utama, antaranya penternakan ayam penelur yang menyumbang sekitar 85% pendapatannya.


Dengan pengalaman lebih 40 tahun, syarikat berpusat di Yong Peng, Johor itu beroperasi sebagai pengeluar telur bersepadu sepenuhnya termasuk segmen perdagangan produk yang berkaitan ternakan.


Justeru PublicInvest menjangkakan usaha Teo Seng memperluas produk hiliran bernilai tambah serta meningkatkan sumbangan jualan langsung akan mengukuh margin keuntungan jangka sederhana.


"Kami memulakan liputan ke atas syarikat ini dengan saranan 'neutral dan harga sasaran RM1.05, berasaskan unjuran keuntungan FY26, yang sejajar rekod purata industri rakan setara," kata firma itu.


Walaupun penilaian semasa syarikat kelihatan menarik, ia menjangka penyusutan keuntungan dari FY25 hingga FY26 tidak dapat dielakkan sebelum pemulihan kembali pada FY27. - DagangNews.com