KUALA LUMPUR 21 Nov - Pembukaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) yang menawarkan tol percuma selama dua bulan sejak 30 Ogos 2025 menjejaskan ketara prestasi Taliworks Corporation Berhad.
Menurut RHB Research, situasi tersebut mengakibatkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) untuk Lebuh Raya Grand Saga yang dikendalikannya itu merosot 83% pada tempoh suku ketiga tahun ini.
Firma penyelidikan tersebut menambah, kumpulan itu memiliki 55% ekuiti dalam Cerah Sama Sdn Bhd yang merupakan pemegang syarikat induk kepada Grand Saga Sdn Bhd dengan konsesi sehingga 2045.
"Penurunan trafik harian sebanyak 0.7% tahun ke tahun (YoY) dalam tempoh tersebut menekan sumbangan untuk segmen tol operasi lebuh raya kumpulan berkenaan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Bagaimanapun RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Taliworks dengan harga sasaran RM1.01 melibatkan potensi kenaikan 94%, dan menyifatkan keputusan kewangan 9M25 sebagai sejajar jangkaan.
Tambah firma berkenaan, keuntungan teras kumpulan tersebut pada tempoh sembilan bulan itu namun susut kira-kira 26% YoY kepada RM41.9 juta, dengan hanya mencapai 49% daripada unjuran tahun penuh.
Ia menjangkakan pampasan tol dianggarkan mencecah RM30 juta menjelang akhir FY25 serta kemajuan lebih kukuh dalam projek pembinaan Sungai Rasau yang akan menyokong pemulihan pendapatan syarikat.
"Selain itu, kami mendapati penilaian saham yang masih rendah pada di bawah nisbah harga kepada pendapatan (P/E) selama 10 tahun dan hasil dividen menarik 9% bagi FY26," jelas RHB Research lagi.
Pada masa sama, firma tersebut menilai EBIT untuk 3Q25 susut 10% YoY, walaupun jualan bermeter meningkat marginal sebanyak 0.2%, disebabkan kos penyelenggaraan dan rehabilitasi lebih tinggi.
Segmen pembinaan merekodkan EBIT tertinggi dalam lapan suku, meningkat kepada RM1.6 juta berbanding RM0.8 juta pada 3Q24, digerakkan kemajuan projek Sungai Rasau Pakej 2 (31%) dan Pakej 3 (15%).
EBIT turut meningkat kepada RM2.9 juta berbanding kerugian RM10.5 juta setahun lalu, berikutan output tenaga lebih tinggi dan ketiadaan kos 'write-off' panel solar seperti tahun sebelumnya.
"Potensi pemangkin termasuk projek baharu berkaitan infrastruktur air, kerana Air Selangor membina empat loji rawatan menjelang 2030 dengan Taliworks kini ada tender lebih RM1 bilion," katanya.
RHB Research juga berpendapat, kelulusan lebih pantas bagi penyelarasan tarif untuk syarikat bersekutu pengurusan sisa akan membantu kumpulan berkenaan. - DagangNews.com








