KUALA LUMPUR 7 Mei – Pendapatan SkyeChip Berhad dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) hampir 25% sehingga FY28, disokong buku tempahan yang bernilai RM130.3 juta.
Menurut analisis RHB Research, unjuran positif itu turut didorong oleh permintaan global yang semakin meningkat baik terhadap cip kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut berada dalam kedudukan strategik memanfaatkan ledakan industri semikonduktor global, khususnya dalam segmen harta intelektual (IP) silikon.
"Ini menjadi komponen utama pembangunan cip AI generasi baharu, dan berdasarkan situasi itu, kami menetapkan nilai saksama (FV) SkyeChip pada RM1.41 sesaham selepas penyenaraian kelak," katanya.
Jangkaan tersebut ujar RHB Research, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 35 kali ganda bagi unjuran tahun kalendar 2027, yang mewakili potensi kenaikan saham sekitar 60%.
Tambah firma berkenaan, kumpulan penyedia rumusan teknologi yang berpangkalan di Pulau Pinang tersebut menawarkan pendedahan langsung kepada ekosistem IP silikon yang semakin berkembang.
Justeru ujarnya, SkyeChip dijangka mengumpul RM352 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO), yang dapat digunakan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta produk litar bersepadu (IC).
"Dana daripada penyenaraian di Pasaran ACE itu juga akan dimanfaatkan bagi memperluaskan keupayaan operasi termasuk pelaburan dalam perisian Electronic Design Automation (EDA)," kata RHB Research.

Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, kumpulan berkenaan sudah membangunkan dan melesenkan IP silikon yang menjadi asas penting dalam pembangunan cip AI dan HPC yang semakin kompleks.
Penggunaan IP itu, khususnya dalam kalangan pelanggan AI dan HPC berpangkalan di China, didorong kualiti teknologi SkyeChip selari pematuhan piawaian global selain kedudukan neutral Malaysia.
Dalam pada itu ujar RHB Research, kumpulan tersebut kini giat membangunkan generasi baharu IP memori bagi memenuhi keperluan cip AI yang memerlukan kecekapan dan kelajuan lebih tinggi.
"Langkah itu dijangka meningkatkan pendapatan pelesenan secara berulang serta harga jualan purata (ASP) apabila lebih banyak blok IP dapat digunakan dalam setiap reka bentuk cip," tambahnya lagi.
Di samping itu, SkyeChip turut membangunkan perisian EDA sendiri dikenali sebagai RAPTuner bagi menyokong integrasi Network-on-Chip (NoC), dengan jangkaan potensi pengkomersialan lebih besar.
RHB Research berkata, syarikat itu juga mengembangkan operasi ke segmen automotif termasuk pembangunan IP untuk pengkomputeran kenderaan elektrik (EV), dengan sumbangan diunjur mulai FY28.
Firma itu turut berpandangan kumpulan ini berada di barisan hadapan aspirasi Malaysia dalam sektor reka bentuk IC yang dijangka menyumbang hasil dalam tempoh dua tahun akan datang. - DagangNews.com








