Hasil tahunan LBS susut 5% berikutan banyak projek utama hampir siap — Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil tahunan LBS susut 5% berikutan banyak projek utama hampir siap — Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 DisLBS Bina Group Berhad mencatatkan penyusutan hasil sebanyak 5% tahun ke tahun (YoY) bagi 9MFY25 apabila beberapa projek utama menghampiri penyiapan, menurut Mercury Securities.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut menegaskan bahawa asas pendapatan kumpulan pembinaan berkenaan sebenarnya adalah kekal kukuh disokong oleh faktor jualan belum dibilkan yang tinggi.


Keuntungan bersih teras 9MFY25 adalah RM85 juta, bersamaan 73% daripada unjuran penuh tahun sejajar dengan jangkaan, manakala jualan yang belum dibilkan setakat Oktober 2025 berjumlah RM1.34 bilion.


"Angka itu bersamaan 1.05 kali hasil FY25, memberikan ketelusan pendapatan yang stabil, dengan segmen pembangunan hartanah kekal dominan, menyumbang 95% hasil kumpulan," kata Mercury Securities.


Memasuki suku terakhir FY25, LBS dijangka dipacu pelancaran baharu dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.02 bilion, termasuk Landed D’Island Residence dan Highrise KITA @ Cybersouth.


Dari segi keuntungan bersih teras, ia susut 18% YoY akibat sumbangan lemah daripada pembangunan hartanah serta bahagian pembinaan dan perdagangan yang melaporkan kerugian bersih RM18.7 juta.


Mercury Securities menambah, kerugian tahun sebelumnya adalah rendah susulan kos tambahan dan kesan projek di luar negara, namun secara suku tahunan pula, prestasi LBS masih menunjukkan pemulihan.


"Ini disokong hasil meningkat 46% suku ke suku (QoQ) dan keuntungan teras naik 8% berikutan kerja di projek seperti LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Prestige Residence dan Idaman," katanya.


Walaupun margin tertekan oleh kos jualan yang lebih tinggi, firma penyelidikan tersebut meramal pelancaran baharu pelbagai projek boleh memberi momentum kepada prestasi kumpulan berkenaan.


Justeru, Mercury Securities mengekalkan pandangan positif terhadap strategi 8x8 LBS yang menekankan penggunaan tanah secara efisien, pengembangan proses perbandaran serta kepelbagaian segmen kerja.


Ia termasuk kediaman, komersial dan industri, manakala dua usaha sama (JV) baharu dengan Oriental Holdings untuk projek di Klebang, Melaka mengembangkan lagi jejak syarikat di koridor pesisir.


"Kumpulan berkenaan kini memiliki sejumlah 1,528 hektar bank tanah dan projek yang masih berjalan mencatat purata 72% kadar pengambilan," tambahnya sambil mengekalkan unjuran hasil LBS sendiri.


Selain itu, Mercury Securities tidak mengubah saranan 'beli' dan harga sasaran 64 sen, bersandarkan diskaun 75% kepada Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV) syarikat itu yang sebanyak RM2.54 sesaham. 


Walaupun sektor hartanah kekal mencabar, ia percaya LBS menawarkan nilai menarik melalui jualan kukuh, keupayaan melancarkan projek secara konsisten, serta pengurusan kewangan yang berhati-hati.


Risiko utama syarikat berkenaan jelas firma itu, termasuk sekiranya berlaku jualan hartanah yang perlahan, turun naik kos pembinaan dan potensi kelewatan projek. - DagangNews.com