KUALA LUMPUR 6 Ogos — Sektor penjagaan kesihatan mampu melonjak lebih baik sekiranya operator terbabit dapat memberi perhatian kepada segmen pelancongan perubatan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, hasil dialog diadakan bersama Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) baru-baru ini, banyak potensi yang boleh dimanfaatkan dengan prospek industri juga baik.
Katanya, pada 2024, bilangan pelancong perubatan mencecah 1.52 juta dengan pendapatan RM2.72 bilion, manakala tahun ini, MHTC menjangkakan hasil segmen itu boleh meningkat sehingga RM3 bilion.
"Situasi positif ini dijana permintaan kukuh untuk penjagaan berkualiti dan mampu milik dengan menjelang 2030, hasil disasarkan pula diyakini lebih RM12 bilion," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Usaha itu tambah firma berkenaan tidak mustahil dengan fokus MHTC kepada sektor hospital swasta yang ketika ini merekodkan 19 anggotanya berstatus elit manakala 63 lagi pusat perubatan biasa.
Cabaran utama katanya, ialah menyelaraskan antara pihak berkepentingan yang berbeza kementerian, agensi dan hospital dengan jurang pengetahuan dalam kalangan ejen pelancongan secara berterusan
Kata MBSB Research, MHTC sedang mengkaji untuk mempromosikan penjagaan holistik dan penjagaan kesihatan bersepadu seiring dengan penjagaan moden, selaras kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Langkah seterusnya ialah mengawal selia dan menambah baik perkhidmatan penjagaan warga emas sebagai sebahagian daripada mempromosikan pelancongan perubatan kepada pesara asing," katanya.
Tumpuan pesakit juga tambah firma itu, wajar diperluaskan bukan setakat ASEAN terutama Indonesia, malah boleh melangkaui rantau Asia Pasifik khususnya China dan pelanggan kaya dari Asia Barat.
Pendekatan seimbang ini bukan kata MBSB Research, mengurangkan pergantungan yang berlebihan pada satu pasaran tetapi memanfaatkan potensi kekuatan sedia ada seperti pertalian budaya dan agama.
Secara keseluruhannya, ia mengekalkan sikap positif terhadap sektor penjagaan kesihatan dipacu pelancongan perubatan, dan yakin Malaysia mampu menjadi hab yang berkembang secara strategik.
"Pilihan utama kami ialah IHH Healthcare Berhad dan KPJ Healthcare Berhad dengan kedua-duanya diberikan saranan 'beli', manakala harga sasaran masing-masing RM8.18 dan RM3.00," katanya. - DagangNews.com








