KUALA LUMPUR 12 Jun — Sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) dibimbangi mengalami kemerosotan teruk hasil pajakan setelah dikenakan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, secara umum, sistem percukaian berkenaan boleh mengakibatkan pendapatan daripada aktiviti pajakan mereka sebagai negatif disebabkan beban tinggi ditanggung penyewa.
Keadaan itu katanya berlaku apabila penyewa dikenakan kos tambahan untuk sewaan premis dan bagi mereka yang tidak berkemampuan dari segi kewangan, langkah terakhir ialah menamatkan penyewaan.
"Walaupun perbelanjaan cukai ini dijangka diserapkan oleh penyewa, dalam jangka panjang, ramai mungkin tidak lagi memperbaharui sewaan kerana berasa dibebankan," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Ia namun menambah, hasil REIT dalam perindustrian mungkin terselamat kerana ada pajakan induk jangka panjang dengan korporat yang besar dan sepatutnya mampu menyerap kos SST itu secara lebih baik.
Katanya, risiko penurunan untuk REIT segmen tersebut dan pejabat sewajarnya agak minimum berikutan pajakan induk yang lama, serta profil penyewa mereka dengan kebanyakannya pula ialah syarikat kukuh.
Situasi positif itu kata RHB Research, adalah sebaliknya jika melibatkan penyewa runcit yang kecil dan walaupun isu ini masih di peringkat awal, sudah ada perbincangan pembaharuan sewa aset tersebut.
"Pertemuan kami dengan beberapa pasukan pengurusan REIT menunjukkan, proses rundingan pembaharuan untuk penyewa lama masih berjalan seperti biasa berikutan kekhuatiran peningkatan kos itu," katanya.
Secara am tambahnya, agensi REIT telah memberi panduan untuk penukaran penyewaan satu digit, tetapi ini mungkin tidak lagi dapat dicapai kerana penyewa bergelut untuk membayar kadar sewa lebih tinggi.
RHB Research berkata, penyewa runcit yang lebih kecil turut perlu mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk kemungkinan potensi jualan rendah dan perbelanjaan pengguna semakin berhati-hati.
Bagaimanapun ia tidak menjangkakan sebarang risiko penurunan kepada pendapatan REIT dalam jangka masa terdekat kerana kos SST ditanggung penyewa, namun bimbang pembaharuan sewa yang akan datang.
"Kami jangka REIT runcit menangguhkan semakan sewa yang lebih tinggi untuk mengekalkan hubungan positif dengan penyewa mereka kerana ini sepatutnya penting dalam jangka panjang," katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa itu yang masih belum dapat disaksikan dalam jangka pendek, RHB Research masih mengekalkan penarafan "overweight" kepada sektor REIT. - DagangNews.com








