KUALA LUMPUR 5 Nov - Phillip Capital menjangka Maxis Berhad mencatat keuntungan bersih teras 3Q25 yang stabil secara suku tahunan, disokong pertumbuhan pelanggan mudah alih yang berterusan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, sebahagiannya diimbangi oleh purata hasil setiap pengguna (ARPU) yang lemah ekoran persaingan harga sengit dalam pasaran telekomunikasi tempatan.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.64 sesaham, berdasarkan andaian kadar pulangan purata kos modal berwajaran (WACC) sebanyak 10.4%.
"Walaupun prospek pendapatan Maxis kekal positif dan pembayaran dividen stabil, ketidaktentuan pelaksanaan rangkaian 5G negara terus memberi tekanan hasil," kata Phillip Capital dalam notanya.
Perkembangan negatif tersebut jelas firma itu turut diburukkan lagi dengan faktor koordinasi lemah pelbagai pihak yang dijangka memberi kesan terhadap sentimen pelabur dan pergerakan harga saham.
Katanya, menurut laporan, jumlah pelanggan mudah alih Maxis meningkat 4.8% tahun ke tahun kepada 13.4 juta dalam 2QFY25, selain dipacu segmen pascabayar yang naik 10.1% kepada 5.6 juta pelanggan.
Sebaliknya kata Phillip Capital, ARPU gabungan kekal rendah sekitar RM42, yang sekali gus mencatat paras paling rendah dalam sejarah akibat pelan pasca bayar harga murah seperti Hotlink Postpaid.
"Bagi 2025 hingga 2027, kami menjangka hasil perkhidmatan naik sederhana 2% hingga 4%, manakala keuntungan bersih teras berkembang 5% hingga 9%, disokong oleh kecekapan operasi," jelasnya lagi.
Di samping itu tambah firma penyelidikan tersebut, usaha pengoptimuman kos dan perbelanjaan modal kekal pada paras RM1 bilion, termasuk bayaran spektrum 2100 MHz mungkin dapat meringankan beban.
Phillip Capital berkata, dari sudut pulangan kepada pemegang saham, Maxis dijangka mengekalkan dividen tahunan sebanyak 17 sen sesaham, dengan hasil dividen 4.4%, melebihi purata sektor 3.9%.
Keadaan ini ujarnya, menunjukkan unjuran tahap pulangan kumpulan telekomunikasi berkenaan yang masih lagi menarik kepada para pelabur walaupun dalam keadaan pertumbuhan ARPU adalah terhad.
"Kami menegaskan Maxis kekal sebagai pembayar dividen kukuh dengan asas pelanggan setia, namun potensi kenaikan harga saham dijangka terhad dalam jangka pendek," katanya. - DagangNews.com








