Hasil Malakoff diramal kekal berikutan perolehan projek loji baharu di Melaka - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Malakoff diramal kekal berikutan perolehan projek loji baharu di Melaka - PublicInvest

Foto ihsan Minconsult Sdn Bhd
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Jun — Malakoff Corporation Berhad diramal masih lagi mengekalkan hasil walaupun memperoleh satu tender projek baharu di Melaka, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).


Firma penyelidikan itu berkata, kontrak diterima melalui kerjasama awam-swasta dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu tidak memberi kesan pendapatan bagi kumpulan tersebut.


Keadaan berkenaan tambahnya, mengambil kira perbelanjaan pendahuluan yang amat besar diperlukan sebelum dapat memulakan pembinaan kemudahan loji sisa-kepada-tenaga (WTE) bernilai RM660 juta.


"Walaupun perkembangan projek ini positif, kami tidak membuat perubahan ramalan hasil Malakoff kerana permulaan operasi melebihi angka unjuran semasa kami," kata PublicInvest dalam nota kajian.


Semalam, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Sungai Undang WTE Sdn Bhd memeterai konsesi selama 34 tahun bagi pembinaan loji tersebut yang dijangka dapat beroperasi penuh menjelang 2029.


Loji seluas 3.2 hektar di Sungai Udang itu mampu memproses  1,056 tan sisa pepejal setiap hari dikutip daripada semua pihak berkuasa tempatan seluruh Melaka dan menjana elektrik 22 megawatt.


Ia merupakan projek WTE kedua dilaksanakan KPKT selepas loji di Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan beroperasi sejak 2023 yang memproses 800 tan sehari dan menjana 15 megawatt.


Mengulas lanjut, PublicInvest berkata, apabila loji itu siap, ia berisiko berlaku isu mekanikal meskipun menggunakan teknologi pelupusan terkini disediakan rakan Malakoff, Hitachi Zosen Inova.


"Kami difahamkan kumpulan ini meraih hasil daripada yuran pemprosesan sisa mungkin ditetapkan RM96 setiap tan manakala perjanjian pembelian tenaga dianggarkan 46 sen sekilowatt," kata firma itu.


Bagaimanapun tambahnya, dari segi jangka panjang Malakoff boleh berunding semula caj berkenaan sepanjang tempoh konsesi dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengikut kesesuaian peredaran semasa.


Projek tersebut katanya, wajar disokong kerana berpotensi mengurangkan pelepasan sehingga 259,000 tan karbon dioksida setahun atau bersamaan usaha penanaman lebih daripada empat juta batang pokok.


PublicInvest menambah, loji itu juga membantu negara kepada peralihan tenaga hijau dan meringankan beban tapak pelupusan sisa sedia ada di Sungai Udang yang semakin menghampiri kapasiti penuh.


Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan masih mengekalkan saranan "neutral" ke atas Malakoff dengan harga sasaran turut tidak berubah kepada 82 sen sesaham. - DagangNews.com