Hasil kukuh segmen reka bentuk lonjak untung bersih Exsim Hospitality cecah RM18 juta pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil kukuh segmen reka bentuk lonjak untung bersih Exsim Hospitality cecah RM18 juta pada FY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 OgosExsim Hospitality Berhad meraih keuntungan bersih RM18.04 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, lonjakan ketara berbanding kerugian bersih RM13.33 juta pada FY24.


Kumpulan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai PAN Malaysia Holdings Berhad berkata, ia sekali gus menandakan kejayaan syarikat dalam melakukan pemulihan prestasi kewangan secara menyeluruh.


Prestasi cemerlang ini disokong lonjakan hasil 24 kali kepada RM146.53 juta berbanding RM5.7 juta sebelumnya, dengan pemacu utama datang daripada segmen reka bentuk dan kelengkapan dalaman.


"Ia menyumbang 94.5% daripada keseluruhan pendapatan atau RM138.46 juta, manakala 4QFY25, syarikat meraih hasil RM69.10 juta, meningkat hampir 40 kali ganda berbanding tempoh sama 2024," katanya.


Tambahnya, keuntungan bersih pada suku tersebut mencecah RM11 juta, berbanding kerugian RM10.32 juta sebelum itu, sekali gus perubahan positif sebanyak RM21.32 juta atau peningkatan 206.6%.


Menurut Pengarah Urusan Exsim Hospitality, Tan Hai Liang, 2025 merupakan tahun penentu buat syarikat dan berhasrat menutup FY25 dengan pencapaian kukuh dari segi pendapatan dan keuntungan.


Ia dipacu pertumbuhan pesat segmen reka bentuk dan kelengkapan dalaman, dengan setakat 30 Jun 2025, kumpulan itu mengumpul buku tempahan RM204.90 juta, termasuk RM69 juta kontrak baharu dalam 4QFY25.


"Segmen pengoperasian hospitaliti yang diuruskan di bawah jenama Mana Mana Hospitality menunjukkan momentum yang positif dalam tahun pertama operasinya," kata beliau menerusi satu kenyataan.


Setakat akhir Jun 2025, sebanyak 1,002 hartanah berada di bawah pengurusannya dengan juga meneroka peluang baharu termasuk hotel, glamping dan inap desa sebagai sebahagian strategi perluasan.


Kata Hai Liang, pengiktirafan Mana Mana Hospitality oleh Malaysia Book of Records sebagai syarikat pengurusan penginapan jangka pendek terbesar di Malaysia merupakan pencapaian penting industri itu.


Beliau menambah, dalam usaha memperkukuhkan kedudukan jangka panjang, para pemegang saham Exsim Hospitality meluluskan terbitan hak bersama waran boleh lucut dan percuma menjana RM250.8 juta.


"Kami juga mengambil alih Tower E di Empire City, Damansara yang bernilai RM240.25 juta, dan bakal dijadikan hotel bertaraf lima bintang dilengkapi podium runcit dan kemudahan sokongan," katanya.


Sementara itu, Corus Hotel di Port Dickson miliknya sendiri, tidak mencatatkan pendapatan dalam suku keempat disebabkan penutupan sementara bagi kerja-kerja naik taraf utama sejak Mei 2025.


Hotel tersebut katanya, dijangka beroperasi semula pada separuh pertama 2026 dengan penambahbaikan fasiliti yang mampu meningkatkan kadar penginapan dan membuka sumber pendapatan baharu syarikat.


Dengan pencapaian kukuh dalam FY2025, kumpulan itu kekal komited meneruskan strategi pertumbuhan menerusi perluasan jejak dan pengukuhan segmen sebagai pemacu utama pendapatan. - DagangNews.com