KUALA LUMPUR 4 Jun — KPJ Healthcare Berhad diramal mampu menyaksikan lonjakan hasil menjelang separuh kedua tahun ini yang dipacu oleh kecekapan operasi daripada usaha pengoptimuman kos secara berterusan, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pengurusan kumpulan penjagaan kesihatan itu juga yakin dapat mengurangkan kerugian di beberapa hospital yang semakin berkembang, dengan pelbagai kuantum penambahbaikan sudah dirancang.
Bagi suku pertama tahun ini, petunjuk operasi utama KPJ adalah bercampur-campur berbanding direkodkan pada tempoh 1QFY24 dengan keuntungan bersih sebanyak RM630 juta masih lagi adalah sejajar dengan jangkaan penganalisis.
"Kami optimis setelah difahamkan kerugian pada 1QFY25 di beberapa hospital baharu berjaya mengecil sebanyak RM5 juta kepada RM6 juta berbanding 1QFY24," kata Kenanga selepas mengikuti taklimat pengurusan KPJ baru-baru ini.
Ia menambah, kerugian dicatatkan pada FY24 melibatkan hospital-hospital baharunya itu turut dapat dikecilkan antara RM40 juta dan RM50 juta kepada anggaran kerugian sebelum cukai sebanyak RM90 juta hingga RM99 juta.
Ia berikutan banyak petanda utama menunjukkan berlaku peningkatan antaranya purata hasil bagi setiap pesakit dalam termasuk melalui pembedahan bertambah sebanyak 10 peratus, walaupun kadar penghunian katil adalah rendah.
Menurut Kenanga, KPJ berkeyakinan tinggi untuk mencapai jumlah 4,200 katil menjelang akhir tahun ini selain menjadikan jumlah katil lebih 6,000 dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pelbagai perluasan premis.
“Pelaksanaan pemerolehan pusatnya adalah tinggi iaitu lebih 85 peratus hospital dengan sebahagian daripada sistem, yang akan meningkatkan kecekapan kos,” kata firma tersebut.
Dari segi penilaian harga perolehan (PE), ia berkata, saham KPJ didagangkan masing-masing pada 36 kali ganda dan 31 kali unjuran pendapatan bagi tempoh FY25 dan FY26.
Sebagai perbandingan, PE rakan setaranya seperti Hospital Bumrumgrad Thailand dan rangkaian hospital Bangkok Dusit didagangkan pada FY26 masing-masing sebanyak 17 kali dan 20 kali.
"Berdasarkan perkembangan tersebut, kami masih lagi mengekalkan ramalan untuk harga sasaran (TP) kepada RM2.50 sesaham dan saranan 'underperform'," tambah Kenanga.
Sementara itu, CGS International Research mengulangi gesaan "tambah" ke atas saham KPJ dengan TP yang tidak berubah sebanyak RM3.35 sesaham kerana menjangkakan jumlah pesakit diyakini pulih untuk tempoh baki FY25.
Firma penyelidikan itu berkata, KPJ telah memulakan projek dalaman untuk mengklasifikasikan hospital-hospital mengikut campuran kes sejak 2023.
Ini tambahnya, membolehkan KPJ menyeragamkan peruntukan sumber untuk campuran kes yang berbeza dan memahami struktur kos di seluruh hospitalnya.
Pengurusan juga berkongsi, tiada satu pun daripada 30 hospitalnya telah dikeluarkan daripada panel rakan kongsi insurans yang sedia ada walaupun terlibat untuk mengawal kos penjagaan kesihatan di Malaysia. - DagangNews.com








