Hasil KKB Engineering FY25-FY27 diunjur rendah akibat bahagian kejuruteraan lemah, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil KKB Engineering FY25-FY27 diunjur rendah akibat bahagian kejuruteraan lemah, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Ogos — KKB Engineering Berhad diunjur mencatatkan pendapatan rendah tiga tahun kewangan berturut-turut disebabkan prestasi lemah bahagian kejuruteraan, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan negatif itu menyaksikan hasil kumpulan dari FY25 sehingga FY27 masing-masing akan turun kepada sebanyak 14 peratus, enam peratus dan tujuh peratus.

 

Tambahnya, keadaan berkenaan turut berpunca daripada kejayaan penerimaan projek baharu yang amat konservatif dengan hanya merekodkan sejumlah RM200 juta berbanding sasaran ditetapkan RM300 juta.

 

"Situasi rendah daripada jangkaan ini menyebabkan kami mengurangkan andaian kemajuan pengebilan bagi kumpulan tersebut sepanjang rekod FY25 sehingga FY27," kata RHB Research dalam satu notanya.

 

Akhir 2QFY25, buku tempahan tertunggak KKB Engineering ialah RM127 juta berbanding 1QFY25 dengan RM250 juta, manakala buku tender untuk kejuruteraan dan pembinaan pada 2QFY25 bernilai RM231 juta.

 

Bagaimanapun katanya, kumpulan itu akan menyertai satu lagi bidaan dengan nilai RM650 juta untuk bahagian kejuruteraan dan pembuatan serta RM1.2 bilion untuk kontrak minyak dan gas pada 2HFY25.

 

RHB Research namun menganggarkan kadar kejayaan perolehan bagi tender itu kira-kira 30 peratus hingga 40 peratus dengan hasilnya dijangka diketahui oleh semua pembida terlibat hanya pada FY26.

 

"Ia susulan KKB Engineering cuma untung bersih RM5.7 juta, susut 18 peratus tahun ke tahun (YoY) pada 1HFY25 yang meleset anggaran kami dan membentuk 25 peratus daripada ramalan FY25," katanya.

 

Kumpulan itu tambahnya, dijangka menetapkan semula aktiviti kerja pada FY25 berikutan banyak projek yang telah mencapai penghujungnya, sementara ia meneruskan tender untuk pusingan pekerjaan baharu.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sesaham diturunkan kepada RM1.65 berbanding RM1.74 sebelumnya.  - DagangNews.com