KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pendapatan ITMAX System Berhad bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 (FY25–FY27) diramal turun sebanyak 12% hingga 20%, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, penyusutan unjuran selama tiga tahun berkenaan disebabkan semakan semula terhadap garis masa pengiktirafan untuk pelbagai projek secara lebih berhemah.
Pendekatan penilaian itu turut dikemas kini kepada model Diskaun Aliran Tunai (DCF) daripada kaedah sebelumnya, Price-Earnings-to-Growth (PEG), bagi mencerminkan penjanaan aliran tunai jangka panjang.
"Susulan itu, harga sasaran bagi ITMAX dinaikkan kepada RM5.10 sesaham berbanding RM4.98, dan kadar pertumbuhan terminal jangka panjang (LTG) 3%** atau penilaian 48 kali pendapatan FY26," katanya.
Maybank IB dalam nota kajiannya itu menambah, walaupun keputusan kewangan 2QFY25 didapati sedikit tersasar daripada jangkaan awal firma berkenaan, ia masih menepati unjuran konsensus pasaran.
Sebaliknya, isu ketidaktepatan tersebut berpunca daripada jangkaan yang terlalu optimistik terhadap kelajuan pengiktirafan hasil daripada pelbagai projek diperoleh ITMAX sepanjang tiga bulan berkenaan.
Bagaimanapun kumpulan itu membuktikan pendapatan suku kedua meningkat 15% suku ke suku kepada RM59 juta, dan keuntungan bersih naik 12% kepada RM23 juta, dipacu projek rumusan infrastruktur digital.
Margin kata Maybank IB namun menurun sedikit sebanyak 2.7 mata peratus kepada 61.5% akibat kos operasi yang lebih tinggi, tetapi margin keuntungan bersih teras pula adalah kekal teguh pada 39%.
Untuk separuh pertama FY25, ITMAX mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM43 juta, meningkat 17% tahun ke tahun, dengan pendapatan keseluruhan adalah meningkat 10% kepada kira-kira RM109 juta.
"Segmen rumusan infrastruktur digital melonjak 67% kepada RM77 juta, manakala segmen pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan mencatatkan penurunan 40% kepada RM31 juta," kata firma tersebut.
Tambahnya, ITMAX dijangka terus meraih lebih banyak projek baharu khususnya di Selangor dan Johor, selepas kejayaan kumpulan berkenaan konsisten memperoleh pelbagai kontrak di Johor sebelum ini.
Model perniagaan syarikat kata Maybank IB, disifatkan sebagai kukuh dan berdaya tahan, serta sejajar dengan strategi rancangan pengembangan nasional yang sedang dilaksanakan oleh kumpulan tersebut.
Walaupun terdapat beberapa risiko seperti kegagalan pembaharuan kontrak, cabaran pelaksanaan projek, peningkatan kos dan potensi pengurangan bajet kerajaan, ia mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com








