Hasil IHH masih teguh disokong peningkatan pesakit, Phillip Capital mulakan liputan saran 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil IHH masih teguh disokong peningkatan pesakit, Phillip Capital mulakan liputan saran 'beli'

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Dis – Hasil IHH Healthcare Berhad dijangka terus tumbuh teguh, disokong peningkatan jumlah pesakit serta trend pemulihan pelancongan perubatan ketika ini, menurut Phillip Capital.


Berdasarkan perkembangan positif itu, firma penyelidikan tersebut memulakan liputan sulungnya ke atas kaunter syarikat berkenaan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran 12 bulan RM9.60 sesaham.


Ia turut menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan selama tiga tahun dan keuntungan teras tahunan masing-masing mencecah sebanyak 9% dan 13% bagi tempoh 2024 hingga 2027.


"Lonjakan ini didorong oleh jumlah pesakit yang meningkat, keupayaan IHH merawat kes-kes kompleks dengan margin lebih tinggi, serta faktor struktur," jelas Phillip Capital dalam notanya hari ini.


Firma berkenaan menjangka faktor seperti populasi menua negara ini dan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di pasaran teras mampu menyaksikan rekod pertambahan pesakit baharu dan berulang.


Kumpulan penjagaan kesihatan itu katanya, ketika ini mengendalikan lebih 80 hospital di 10 negara, termasuk Malaysia, Singapura, Turkiye, dan India, dengan sejumlah 16,000 katil yang berlesen.


Kata Phillip Capital, IHH merancang lebih 4,000 katil lagi menjelang 2028, meningkatkan kapasiti pesakit dalam sebanyak 33% melalui pembangunan hospital baharu dan pengubahsuaian fasiliti semasa.


"Kami melihat risiko berlebihan kapasiti adalah minimum, memandangkan nisbah katil hospital di kebanyakan pasaran utama masih di bawah purata ditetapkan banyak negara maju sendiri," katanya.


Perkhidmatan pesakit dalam dijangka terus menyumbang lebih 50% daripada jumlah hasil kumpulan, dan pertumbuhan intensiti hasil dijangka meningkat apabila IHH menangani lebih banyak kes kompleks.


Keupayaan hospital rangkaian luas kumpulan tersebut juga jelas Phillip Capital membolehkan usaha sinergi kos dan leveraj operasi yang lebih tinggi dicatatkan berbanding pesaing serantau lain.


IHH kini diniagakan pada 34.8 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2026, premium berbanding rakan serantau, namun firma itu menilai penilaian ini wajar berikutan keterlihatan keuntungan.


"Bagaimanapun, ia juga ada risiko utama termasuk kawal selia perubahan, jumlah pesakit yang lebih lemah daripada jangkaan, dan persaingan semakin meningkat daripada hospital swasta lain," katanya.


Secara keseluruhan, Phillip Capital percaya IHH berada pada kedudukan kukuh memanfaatkan permintaan kesihatan yang meningkat serta pemulihan pelancongan perubatan di rantau ASEAN. - DagangNews.com