KUALA LUMPUR 21 Mei - HSS Engineers Berhad berdepan tekanan apabila beberapa projek utama termasuk pusat data (DC) Cyberjaya dan projek metro Baghdad tidak lagi menyumbang kepada hasil.
Menurut Mercury Securities dalam analisisnya, situasi itu menjejaskan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), namun langkah agresif pengoptimuman kos berjaya melonjakkan keuntungan syarikat.
Hasil kumpulan itu ujarnya, susut 10.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM46 juta kerana penyusutan sumbangan daripada segmen reka bentuk kejuruteraan, penyeliaan pembinaan dan pengurusan projek.
"Prestasi lemah ini disebabkan penyiapan projek DC di Cyberjaya, bil tuntutan lebih rendah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan tiada pengiktirafan hasil daripada projek rel Baghdad Metro," katanya.
Bagaimanapun ujar Mercury Securities, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) HSS Engineers melonjak 137.7% YoY susulan penurunan ketara kos jualan dan perbelanjaan operasi.
Tambah firma penyelidikan tersebut, margin keuntungan kasar turut meningkat kepada 32% berbanding 24.3% setahun lalu manakala margin PATAMI bertambah kepada 8.1% daripada hanya 3.1% sebelumnya.
Jelasnya, walaupun hasil lebih lemah, pemulihan keuntungan disokong langkah pengurangan kos yang semakin efektif selain ketiadaan kerugian rosot nilai besar seperti direkodkan pada FY25.

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham HSS Engineers dan harga sasaran (TP) 43 sen berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 11.7 kali kepada unjuran FY26," katanya.
Menurut Mercury Securities, buku tempahan yang belum dibil oleh syarikat tersebut kekal kukuh pada RM2.13 bilion setakat 31 Mac 2026 dengan sekitar 80% disumbangkan segmen pengurusan projek (PMS).
Perkembangan positif berkenaan ujar firma penyelidikan tersebut, sekali gus memberi keterlihatan pendapatan yang terjamin kepada pertumbuhan HSS Engineers sehingga lapan tahun akan datang kelak.
Ia juga menjangkakan prestasi dari FY26 hingga FY27 akan terus disokong oleh pelbagai projek dalam sektor air, pengangkutan dan DC selain pengembangan operasi syarikat berkenaan di luar negara.
“Kami kekal optimis kerana kedudukannya antara penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek yang terbesar di Malaysia serta peluang transformasi sektor air,” kata Mercury Securities.
Firma itu namun mengingatkan risiko utama HSS Engineers termasuk kelewatan projek, cabaran tenaga kerja mahir, kebergantungan tinggi pasaran domestik dan perubahan dasar kerajaan. - DagangNews.com








