Hasil Gadang dikhuatiri merosot sehingga FY27 akibat kekurangan projek - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Gadang dikhuatiri merosot sehingga FY27 akibat kekurangan projek - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jun — Gadang Holdings Berhad dibimbangi memperoleh hasil lebih rendah untuk tahun kewangan 2026 sehingga 2027 disebabkan faktor kekurangan projek baharu, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia berdasarkan situasi semasa apabila kumpulan itu memperoleh satu kontrak bagi pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak bernilai RM92.5 juta pada 20 Jun 2025.


Situasi berkenaan katanya, mencerminkan ketiadaan sebarang kemenangan pekerjaan baharu pada FY25 dengan kadar penambahan buku tempahan juga didapati lebih perlahan daripada jangkaan firma itu.


"Kami telah menyemak semula andaian kerja baharu Gadang untuk FY26 sehingga FY27 yang lebih rendah daripada RM500 juta kepada RM300 juta setahun," kata TA Securities dalam satu nota kajiannya.


Keadaan hambar yang dialami kumpulan tersebut turut menyebabkan firma penyelidikan itu menurunkan ramalan hasil pada FY25, FY26 dan FY27 masing-masing menyusut kepada sebanyak 1.6%, 26.7% dan 6.8%.


Katanya, kejayaan Gadang menerima kontrak untuk penambahbaikan lebuh raya berkenaan, merupakan tender pertama bagi FY26 dan menaikkan anggaran buku tempahan belum dibilkan kepada RM1 bilion.


Nilai itu tambah TA Securities, bersamaan dengan 3.6 kali hasil pembinaan kumpulan tersebut pada FY24 kerana projek berkenaan mengambil masa 18 bulan dan dijangka siap pada suku terakhir 2026.


"Dengan jangkaan margin projek sebanyak lima peratus, kami meramalkan sumbangan keuntungan bersih kira-kira RM4.6 juta sepanjang tempoh kontrak itu berlangsung," kata firma penyelidikan tersebut.


Berdasarkan kemas kini terbaharu pihak pengurusan Gadang, buku tender syarikat itu berjumlah RM3 bilion, yang terdiri daripada peluang dalam kerja berkaitan rel, infrastruktur dan pusat data.


Untuk FY26 pula kata TA Securities, kumpulan berkenaan menyasarkan sebanyak RM500 juta dalam kemenangan pelbagai kerja baharu sebagai sebahagian daripada strategi penambahan buku tempahannya.


Setelah diambil kira profil risiko negatif itu, firma tersebut menurunkan saranan kepada 'jual' daripada 'pegang' dan turut mengurangkan harga sasaran kepada 22 sen berbanding 28 sen sebelum ini. - DagangNews.com