KUALA LUMPUR 23 Jan - Pendapatan IGB Commercial Real Estate Investment Trust (REIT) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) meningkat 7.4% mencecah lebih RM230 juta, berbanding dengan RM215.1 juta diperolehinya pada tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kadar penghunian lebih tinggi dan pengembalian sewa kukuh membantu Pendapatan Harta Tanah (NPI) naik 2.1% kepada RM130.5 juta yang seterusnya menyumbang kepada hasil kumpulan.
“Bagi 4Q24, IGB REITmencatatkan peningkatan hasil sebanyak 5.7% sebanyak RM60.2 juta berbanding RM56.9 juta pada suku yang sama pada 2023.
"Kumpulan juga mencapai NPI berjumlah RM28.2 juta pada 4Q24, berbanding RM32.9 juta pada 4Q23, disokong oleh penghunian dan kadar pengembalian sewa yang lebih tinggi.
"NPI yang lebih rendah yang dicatatkan pada 4Q24 disebabkan perbezaan masa perbelanjaan yang dianggarkan untuk inisiatif peningkatan aset (AEI) dan kos kerja-kerja pembaikan yang dijalankan, termasuk naik taraf lif dan kemudahan, penyelenggaraan dan kerja kalis cuaca.
Katanya, keputusan memberangsangkan tahun ini disokong oleh pendekatan tegas diambil oleh pihak pengurus bagi meningkatkan portfolio kemampanan kumpulan.
"Pada Disember 2024, The Gardens North dan South Towers telah dianugerahkan pensijilan GreenRE Gold, manakala GTower mengekalkan pensijilan GreenRE Goldnya, mengesahkan kedudukannya sebagai perintis dalam amalan bangunan mampan di Malaysia.
"Selain itu, AEI telah dilaksanakan di seluruh portfolio bagi meningkatkan fungsi, daya tarikan penyewa serta menggabungkan sistem cekap tenaga.
"Kumpulan juga telah melaksanakan inisiatif dan langkah penglibatan komuniti untuk meningkatkan kepuasan penyewa, yang telah mengukuhkan lagi daya tarikan portfolio.
"Usaha ini telah menyumbang kepada peningkatan ketara sebanyak 6.2% dalam kadar penghunian portfolio daripada 81.3% pada 2023 kepada 87.5% pada 2024, yang melebihi kadar purata penghunian pasaran pejabat Lembah Klang bagi tahun 2024," kata IGB REIT.
Sementara tu, pihak pengurusan mencadangkan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 75 sen bagi 4Q24 menjadikan jumlah DPU pada 2024 kepada 3.62 sen.
Berdasarkan harga seunit IGB REIT sebanyak 60 sen pada 31 Disember 2024, ini diterjemahkan kepada hasil pengagihan sebanyak 6.4%. - DagangNews.com








