KUALA LUMPUR 27 Feb – OSK Holdings Berhad mencatat prestasi kewangan yang lebih baik bagi tahun kewangan 2025 disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen perkhidmatan kewangan dan industri.
Hasil kumpulan meningkat 12 peratus kepada RM1.9 bilion berbanding RM1.7 bilion pada FY2024, manakala untung sebelum cukai naik kepada RM634.0 juta, meningkat empat peratus daripada RM611.4 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata keuntungan bersih kepada pemegang saham turut meningkat tujuh peratus kepada RM576.0 juta, mencerminkan prestasi operasi yang lebih stabil di kebanyakan segmen perniagaan.
“Segmen perkhidmatan kewangan mencatat hasil RM297.2 juta pada FY2025, meningkat 31 peratus, manakala keuntungan bersih naik 21 peratus kepada RM125.1 juta.
“Pertumbuhan segmen ini disokong oleh pengembangan portfolio pinjaman modal dan pengguna di Malaysia serta Australia, dengan jumlah pinjaman tertunggak meningkat kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.2 bilion setahun sebelumnya,” katanya dalam makluman tersebut.
OSK juga kini meneroka perniagaan pembiayaan motosikal melalui pengambilalihan Wilayah Credit Sdn. Bhd. pada 1 Ogos 2025.
Di Australia, perniagaan kredit swasta diperluas ke Western Australia dan New South Wales, manakala kehadiran baru di Singapura membolehkan kumpulan itu menyalurkan pembiayaan pertama pada Januari 2026.
Ia berkata segmen hartanah mencatat penurunan hasil sebanyak 10 peratus kepada RM789.6 juta dan untung sebelum cukai merosot 17 peratus kepada RM127.8 juta.
“Penurunan ini sebahagiannya disebabkan oleh ketiadaan keuntungan sekali sahaja yang direkodkan pada FY2024 serta pelarasan projek di Australia.
“Namun, jika ditolak item luar biasa tersebut, prestasi operasi segmen hartanah sebenarnya menunjukkan peningkatan sebanyak 18 peratus, mencerminkan kekuatan asas perniagaan,” katanya.
Kumpulan mempunyai jualan belum direkodkan berjumlah RM1.3 bilion pada akhir Disember 2025, dengan jumlah tanah seluas 2,454 ekar bernilai pembangunan kasar dianggarkan RM19.1 bilion, termasuk projek di Malaysia dan Melbourne, Australia.
Segmen industri merekodkan peningkatan hasil 48 peratus kepada RM656.2 juta, namun untung sebelum cukai merosot 18 peratus kepada RM33.6 juta disebabkan kos tambahan di kilang Johor Bahru, termasuk naik taraf mesin, penyelenggaraan dan ujian produk.
Segmen kabel mencatat permintaan tinggi daripada syarikat utiliti dan sektor swasta, sementara Acotec IBS dijangka mengekalkan prestasi stabil menyokong aliran hasil segmen secara keseluruhan.
Segmen hospitaliti mencatat hasil RM112.5 juta, meningkat tiga peratus, manakala untung sebelum cukai melonjak 46 peratus kepada RM6.7 juta, disokong oleh kadar penginapan yang tinggi, peningkatan harga bilik dan permintaan acara korporat.
Kerjasama dengan pengendali hotel antarabangsa di Damai Laut dan Johor Bahru, serta penjenamaan semula Swiss-Grand Beach Resort Kuantan, meningkatkan kedudukan pasaran dan tarikan jenama.
Segmen pegangan pelaburan mencatat untung sebelum cukai RM340.9 juta, meningkat 10 peratus, terutamanya disokong oleh keuntungan daripada pegangan dalam RHB Bank, yang meningkat kepada RM345.3 juta pada FY2025.
OSK Holdings menegaskan komitmen untuk terus mengukuhkan perniagaan teras sambil mencari peluang baharu, dengan pelbagai projek dan pendekatan berdisiplin dijangka memastikan prestasi mampan pada FY2026. - DagangNews.com








