KUALA LUMPUR 8 Jun — HSS Holdings Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Jun 2026, dilihat mempunyai potensi pertumbuhan pendapatan yang kukuh, menurut penganalisis.
Bagaimanapun mereka berpandangan, kebergantungan tinggi kepada pengeluar pihak ketiga terus menjadi risiko utama yang perlu diberi perhatian ke atas saham pengeluar dan pengedar produk bakeri tempatan itu.
Malacca Securities dalam notanya, memberikan nilai saksama (FV) 23 sen sesaham kepada kumpulan ini, mewakili potensi kenaikan 27.8% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 18 sen sesaham.
"Kami menjangkakan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) HSS berkembang stabil pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 7.3% dalam tempoh tiga tahun," jelasnya.
Ujarnya, pemangkin utama ialah pemasangan barisan pengeluaran baharu dibiayai hasil IPO, sumbangan tinggi segmen pembuatan dalaman serta pelancaran rangkaian produk premium berasaskan pelancongan.
Tambah Malacca Securities, margin kasar meningkat secara daripada 15.6% pada FY22 kepada 18.8% pada FY25, didorong segmen pembuatan dalaman yang menyumbang 16.6% daripada hasil kumpulan.
Selain itu, HSS merancang produk hadiah premium seperti kek mentega, kek span dan kek lapis dengan bungkusan berciri Malaysia untuk dipasarkan di lapangan terbang serta lokasi pelancongan utama.
"Kami namun mengingatkan 83.5% hasil FY25 masih bergantung kepada produk daripada pengeluar pihak ketiga, risiko turun naik harga bahan mentah dan ketidaktentuan permintaan," kata firma tersebut.
Penilaian TA Securities Lebih Konservatif
Sementara itu, TA Securities mengambil pendekatan lebih konservatif dengan FV 18 sen, seperti harga IPO, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 10 kali ganda bagi unjuran hasil FY27.
Ia berpandangan HSS ada kelebihan kompetitif termasuk portfolio produk luas, rangkaian pembekal pelbagai, saluran pengedaran kukuh serta pasukan pengurusan berpengalaman dalam industri bakeri.
Menurut firma penyelidikan tersebut, setakat ini kira-kira 67.3% jualan syarikat berkenaan dijana daripada pasaran domestik manakala perolehan selebihnya disumbangkan menerusi pasaran eksport.
"Kumpulan ini terlibat dalam pemerolehan produk bakeri, pembuatan biskut, kek dan kuih-muih serta perdagangan produk pengguna melalui pelbagai jenama sendiri serta pelanggan," kata TA Securities.
Tambahnya, IPO HSS melibatkan terbitan 75 juta saham baharu dan tawaran jualan 52.5 juta saham sedia ada, mewakili 25.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan selepas penyenaraian.
Justeru, ia tidak menolak potensi CAGR syarikat yang berpangkalan di Muar, Johor dan ditubuhkan sejak 2004 itu mampu mencecah antara RM9 juta hingga RM10.5 juta. - DagangNews.com








