KUALA LUMPUR 9 Sept – DXN Holdings Berhad dijangka mencatat penyusutan hasil hampir 24% pada tahun kewangan berakhir 2026, susulan kesan ketara pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Menurut CGS International (CGSI), prestasi pendapatan syarikat model jualan langsung itu akan merosot ke paras hampir sama dengan FY24, meskipun jualan dalam mata wang asing dijangka meningkat sekitar 14%.
Firma penyelidikan tersebut namun menambah, kesan negatif tukaran mata wang (forex) dijangka mengheret pertumbuhan hasil dalam terma ringgit kepada kadar pertumbuhan sederhana satu digit sahaja.
“Ringgit kukuh sehingga 27% berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada FY25 telah memberi tekanan kepada hasil, kerana 88% jualan DXN datang daripada pasaran luar,” jelas CGSI dalam notanya.
Selain isu tukaran asing, kos operasi yang meningkat, termasuk perbelanjaan untuk menyewa jet peribadi, dianggarkan sebanyak RM26 juta hingga RM28 juta setahun, dijangka terus menekan margin keuntungan.
Pesawat tersebut disewa melalui transaksi pihak berkaitan (RPT) dengan syarikat milik Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin, sekali gus menimbulkan kebimbangan berkaitan tadbir urus korporat.
DXN juga terlibat dalam satu lagi RPT menerusi pembelian unit kediaman mewah di Burj Khalifa, Dubai bernilai AED6.4 juta (kira-kira 7.4 juta), yang turut dikaitkan dengan Siow Jin sebagai salah seorang vendor hartanah tersebut.
“Kebimbangan pasaran terhadap amalan tadbir urus dan prestasi pendapatan lemah telah menyebabkan DXN dinilai dengan kos ekuiti lebih tinggi. Saham kini diniagakan 50 sen, jauh di bawah nilai intrinsik kami,” tambah CGSI.
Walaupun menghadapi tekanan luaran dan dalaman, DXN kata CGSI, masih meneruskan strategi pengembangannya ke pasaran baharu selepas menembusi Brazil dan Argentina pada FY25.
Syarikat itu katanya, kini telah membuka pejabat di Mesir sejak April 2025, serta menyasarkan kehadiran di Algeria, Chile, Ghana dan Zambia dalam tempoh enam bulan akan datang.
Tambah firma berkenaan, langkah pengurangan pendedahan kepada risiko forex juga sedang diusahakan melalui lokalisasi operasi dan penetapan harga berasaskan dolar AS.
Bagaimanapun, CGSI menjangkakan inisiatif kumpulan tersebut hanya akan menunjukkan kesan dalam jangka sederhana hingga panjang.
“Setiap penyusutan 5% dolar AS daripada unjuran asas kami boleh menyebabkan penurunan pendapatan sehingga 21%,” tegas firma berkenaan.
CGSI menurunkan harga sasaran saham DXN kepada 68 sen, namun mengekalkan saranan 'tambah' berikutan jangkaan pemulihan pendapatan bermula FY27 dan FY28.
Ketika ini, saham DXN didagangkan pada 7.1 kali ganda unjuran pendapatan FY25, iaitu satu penilaian yang dianggap tidak menuntut.
Tambahan pula, dividen menarik antara 8.4% hingga 11.0% dijangka menjadi penampan kepada pelabur dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Jika DXN dapat membuktikan pemulihan kukuh dalam pertumbuhan pendapatan serta menambah baik amalan tadbir urus, potensi penarafan semula saham adalah tinggi,” kata laporan itu.
CGSI turut menggariskan risiko utama termasuk perubahan dasar kawal selia di pasaran asing, sekatan terhadap pemulangan keuntungan, serta pengukuhan lanjut ringgit yang berterusan. - DagangNews.com








