KUALA LUMPUR 21 Mei – Duopharma Biotech Berhad mengukuhkan kedudukan sebagai antara syarikat farmaseutikal utama apabila hasilnya hampir mencecah RM1 bilion bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Ia mencatatkan pendapatan RM931.69 juta, naik 14.5% daripada RM813.7 juta pada FY24, didorong permintaan kukuh merentasi semua segmen perniagaan dan lonjakan sekali sahaja dalam stok insulin.
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 43.6% kepada RM114.91 juta, sekali gus melepasi paras RM100 juta buat pertama kali dalam sejarah syarikat itu sendiri.
"Prestasi ini turut disokong kos bahan aktif farmaseutikal (API) lebih rendah, pergerakan tukaran asing (forex) yang memihak kepada Duopharma serta peningkatan kecekapan operasi," tambahnya lagi.
Sejajar pencapaian berkenaan, lembaga pengarah mengumumkan dividen interim kedua 3.05 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen FY25 meningkat kepada 4.55 sen sesaham berbanding 3 sen sebelumnya.
Jumlah pembayaran dividen pada kali ini jelasnya, mencecah sebanyak RM43.77 juta atau kira-kira 50% daripada keuntungan selepas cukai (PAT), dengan peningkatan 51.7% tahun ke tahun (YoY).
Pengerusinya, Kartini Abdul Manaf berkata, Duopharma kekal komited memastikan bekalan ubat bermutu tinggi keluaran tempatan tersedia kepada rakyat Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Kami mahu menyediakan rumusan lebih pintar untuk kehidupan sihat menerusi portfolio produk, halal dan kapasiti pembuatan ditingkatkan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, syarikat akan terus memperluaskan portfolio produk yang luas menerusi pembangunan dalaman dan kerjasama strategik.
Tambah beliau, beberapa dasar kerajaan seperti Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dijangka memperkukuh lagi industri farmaseutikal tempatan.
Duopharma turut mencipta sejarah apabila menjadi syarikat pertama di dunia menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi produk biologik biosimilar erythropoietin.
"Produk ini digunakan untuk rawatan anemia pesakit buah pinggang kronik, dan kami kekal sebagai pembekal utama Kementerian Kesihatan termasuk kontrak pembekalan insulin hingga 2028," katanya.
Selain prestasi kewangan kukuh, Duopharma menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Perdana Menteri 2025 bagi kategori sektor swasta dalam isu integriti. - DagangNews.com








