KUALA LUMPUR 20 Nov — CBH Engineering Holding Berhad mencatatkan keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan bagi tempoh 3QFY25, dengan keuntungan teras terlaras hanya RM21.5 juta.
TA Securities berkata, ia mencapai sekitar 53% daripada anggaran firma penyelidikan itu, dengan masalah kelembapan tersebut berpunca daripada kadar 'pembakaran' buku tempahan yang lebih perlahan.
Situasi itu jelasnya, susulan projek yang diperoleh sebelum FY25 hampir selesai, manakala lebih 80% daripada kontrak baharu yang diraih kumpulan tersebut dalam FY25, masih pada fasa awal pelaksanaan.
"Pendapatan merosot 32% tahun ke tahun (YoY), menyebabkan untung sebelum cukai (PBT) serta untung selepas cukai (PAT) teras masing-masing susut 35.7% dan 38.6%," kata firma tersebut dalam notanya.
Secara suku tahunan (QoQ), pendapatan CBH Engineering jatuh 47.2%, namun margin bersih teras pula meningkat kepada 18.3% berbanding 16.7% pada 2QFY25 berikutan kadar cukai efektif lebih rendah.
TA Securities telah menyemak semula andaian kadar pembakaran FY25 kepada paras lebih rendah, tetapi menaikkan unjuran FY26 hingga FY27 untuk mencerminkan peningkatan ketara yang dijangka berlaku.
Keadaan itu katanya, selari dengan fasa pertengahan hingga akhir projek, yang sejajar pelaksanaan kontrak, manakala unjuran keuntungan FY25 dipotong 13%, tetapi FY26 dan FY27 naik 1.3% dan 6.4%.
"Setakat akhir September 2025, CBH Engineering memiliki buku tempahan luar jangka sebanyak RM530.5 juta, yang bersamaan 2.3 kali liputan kepada unjuran pendapatan FY25," jelas firma berkenaan.
Ia memberikan keterlihatan pendapatan kukuh tiga tahun, dan setakat kini, syarikat meraih RM471.6 juta kontrak baharu, iaitu 94% daripada sasaran FY25, disokong buku tender kira-kira RM710 juta.
Justeru, TA Securities menjangkakan peluang besar kontrak tambahan dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang, dipacu oleh permintaan secara berterusan terutama segmen rumusan infrastruktur tenaga.
Tambahnya, perkembangan positif itu, khususnya didorong pembangunan pesat ekosistem pusat data negara yang memerlukan kerja sambungan grid, naik taraf pencawang dan sistem agihan bekalan elektrik.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 58 sen, sambil menegaskan kelebihan CBH Engineering dalam sektor pembinaan infrastruktur tenaga bersepadu berskala," jelasnya. - DagangNews.com








