KUALA LUMPUR 28 Jan - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dijangka mencatatkan perkembangan hasil sebanyak 5.4% pada FY25 didorong pertambahan aset yang berjaya diambil alih pada FY24.
CIMB Securities berkata, ia berjaya menyempurnakan pengambilalihan aset bernilai RM719 juta, mengukuhkan kehadirannya di Klang, yang menyumbang 65.6% daripada jumlah nilai pemerolehan.
Katanya, pengambilalihan Axis REIT melebihi sasaran sebanyak 3.3x pada 2024, memperoleh aset bernilai RM719.3 juta dan ia dijangka menyumbang 16.9% kepada pendapatan hartanah bersih (NPI) REIT pada FY25.
Firma penyelidikan itu menaikkan anggaran pendapatannya untuk FY25-FY26 sebanyak 13% hingga 14%, dengan mengambil kira penjimatan kos faedah daripada pelaksanaan penjanaan modal Axis REIT baru-baru ini, yang melibatkan pengeluaran 263 juta unit saham.
Penempatan persendirian itu mengurangkan nisbah penggearan REIT dan dijangka mengurangkan perbelanjaan faedah sebanyak 20% pada FY25.
Bagaimanapun, peningkatan dalam asas unit dijangka mencairkan pengagihan seunit sebanyak 7%.
"Kami menaikkan harga sasaran sebanyak 6.5% kepada RM2.13 daripada RM2, mencerminkan peningkatan tahun penilaian kami hingga akhir 2025, semakan kepada anggaran pendapatan dan perubahan dalam kadar diskaun bagi mencerminkan premium risiko yang lebih rendah sebanyak 5.9%.
"Kami menyemak naik penarafan kepada "beli" dengan TP RM2.13 sesaham," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan penarafan itu adalah disebabkan prestasi kukuh REIT pada FY24 dan prospek positif untuk masa depan, disokong pemerolehan strategik dan pengurusan modal yang lebih baik.
Pada FY24, keuntungan bersih teras Axis REIT datang sejajar dengan jangkaan, berkembang sebanyak 14.8% tahun ke tahun.
Pertumbuhan itu didorong pengembalian sewa dan penyiapan pelbagai pemerolehan dan projek pembangunan.
"NPI REIT menyaksikan peningkatan 12.7%, dengan sumbangan ketara daripada aset baharu, seperti pajakan Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 dan pengembalian sewa yang positif," katanya.- DagangNews.com








