Hasil Astro dikhuatiri susut 60% pada FY26 akibat ancaman sengit kotak TV haram - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Astro dikhuatiri susut 60% pada FY26 akibat ancaman sengit kotak TV haram - Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Jun — Astro Malaysia Holdings Berhad dikhuatiri mencatatkan penyusutan hasil lebih separuh untuk dua tahun kewangan berturut-turut ekoran pelbagai faktor, menurut Kenanga Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, antara punca kemerosotan itu ialah ancaman persaingan sengit daripada penjualan berleluasa tanpa kawalan kotak televisyen haram di pasaran secara terbuka.


Perkembangan negatif itu mengakibatkan ramai pelanggannya menamatkan langganan dan beralih kepada produk berkenaan yang menawarkan siaran secara percuma termasuk ratusan saluran seluruh dunia.


"Kami mengurangkan ramalan pendapatan Astro pada FY26 hingga FY27 masing-masing sebanyak 60 dan 56 peratus berikutan kemerosotan pelanggan yang semakin tinggi," kata Kenanga dalam nota kajiannya.


Kumpulan penyiaran tersebut merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM13.48 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 30 April 2025, menurun berbanding RM17.01 juta bagi tempoh sama tahun lepas.


Pendapatan operator televisyen berbayar itu turut menyusut kepada RM703.09 juta daripada RM772.53 juta dengan menyatakan ia berpunca disebabkan faktor penyusutan hasil langganan dan pengiklanan.



Artikel berkaitan: Keuntungan Astro susut kepada RM13.48 juta, hasil RM703.09 juta pada Q12025


Mengulas lanjut, Kenanga turut meramalkan prospek perolehan Astro terjejas teruk ekoran saingan puluhan saluran televisyen tidak berbayar (FTA) tempatan dipancarkan menerusi dekoder MYTV. 


Kotak berkenaan yang dijenamakan sebagai myFreeview ditawarkan percuma oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd menerusi inisiatif khas kerajaan di bawah projek pendigitalan penyiaran Malaysia sejak 2014.


"Astro turut berdepan cabaran penggunaan secara meluas platform penstriman 'over-the-top' (OTT) membolehkan pengguna menonton kandungan tanpa perlu kabel parabola satelit yang rumit," katanya.


Berdasarkan laporan tahunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), jumlah isi rumah yang melanggan Astro turun kepada 5.3 juta berbanding MYTV pula naik mencecah 6.8 juta.


Keadaan kata Kenanga, diburukkan lagi dengan perbelanjaan pengiklanan (adex) yang lebih rendah pada segmen radio di bawah rangkaiannya susulan persaingan daripada pelbagai operator stesen lain.


Justeru, firma tersebut tetap berwaspada terhadap prospek Astro yang turut terjejas akibat kos pembayaran jangka panjang pajakan transponder satelit Measat yang semakin melambung setiap tahun.


Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan "underperform" dengan harga sasaran kumpulan tersebut diturunkan kepada 13 sen berbanding 15 sen sebelum ini. - DagangNews.com