Hasil AirAsia X diunjurkan merosot 47% akibat harga bahan api jet cecah AS$200 setong — PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil AirAsia X diunjurkan merosot 47% akibat harga bahan api jet cecah AS$200 setong — PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 April — Unjuran hasil AirAsia X Berhad bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 dikurangkan 46.8% oleh Public Investment Bank berikutan peningkatan mendadak harga bahan api jet.


Menurut firma penyelidikan tersebut, harga minyak berkenaan kini mencecah sekitar AS$200 (kira-kira RM794.87) setong, susulan konflik di Timur Tengah yang masih belum lagi reda sepenuhnya.


Semakan turun tersebut ujarnya, mengambil kira pertumbuhan penumpang dan pendapatan yang lebih lemah akibat tekanan kos serta ketidaktentuan geopolitik daripada ketegangan di rantau itu.


"Walaupun berdepan cabaran itu, kami mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap AirAsia X, tetapi harga sasaran (TP) disemak turun kepada RM1.85 berbanding RM2.80 sebelum ini," jelas PublicInvest.


Tambah firma berkenaan, permintaan perjalanan yang kekal kukuh membantu dalam meredakan kesan kenaikan ketara kos, walaupun syarikat terpaksa menaikkan tambang dan mengenakan surcaj bahan api.


Tiket syarikat penerbangan kos rendah itu katanya, sudah meningkat antara 30% hingga sebanyak 40% manakala surcaj bahan api naik sekitar 20%, bergantung kepada arah laluan destinasi penumpang.


Artikel berkaitan: AirAsia X naikkan tambang 30%-40% susulan lonjakan harga minyak jet


Ujar PublicInvest, langkah dilaksanakan pengurusan AirAsia X berkenaan adalah penting memandangkan kos bahan api menyumbang antara 20% hingga 40% daripada keseluruhan perbelanjaan operasi pesawat.


"Pada masa sama, kumpulan penerbangan tersebut tetap meneruskan pendirian untuk tidak melaksanakan sebarang usaha lindung nilai bahan api yang masih kekal terdedah kepada turun naik harga semasa.


Bagi mengurangkan impak, syarikat mengambil beberapa langkah awal termasuk pengurangan kapasiti penerbangan kira-kira 10%, mengoptimumkan rangkaian laluan serta meningkatkan kecekapan operasi.


Selain itu kata PublicInvest, AirAsia X mempercepatkan penggunaan pesawat lebih cekap bahan api serta memanfaatkan sambungan Kuala Lumpur dan Bangkok bagi meningkatkan faktor muatan penumpang.


Firma tersebut turut berpandangan pengukuhan mata wang ASEAN boleh bertindak sebagai lindung nilai semula jadi terhadap kos bahan api yang didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com