KUALA LUMPUR 17 Feb — Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan terus memainkan peranan penting di seluruh operasi Harvey Norman Malaysia, sama ada dalam meningkatkan rangkaian produk atau mencipta pengalaman pembelian lebih pintar.
Pengarah Urusan Harvey Norman Singapura dan Malaysia, Bernice Kwok berkata, terdapat peningkatan permintaan untuk AI dan penyelesaian rumah pintar, apabila pengguna mencari produk yang memberi keselesaan, kecekapan dan sentuhan peribadi.
“Satu trend penting ialah peningkatan peranti bersepadu AI, seperti komputer peribadi (PC) dan telefon dipacu AI. Ini mengubah cara orang untuk berinteraksi dengan peranti dan memberikan pengalaman unik yang lebih mengikut gerak hati,” katanya.
Ketika ini peruncit Australia itu telah mula menggabungkan penyelesaian dipacu AI dalam penawaran pelbagai produknya, termasuk komputer riba NextGen AI, yang direka untuk memberikan pengalaman pengkomputeran yang lebih pintar dan cekap.
Di bawah inisiatif ini, syarikat itu menempatkan pakar NextGen AI di kesemua kedainya untuk menyediakan sokongan selain dilatih bagi memahami keupayaan AI pada komputer riba serta menyelesaikan masalah pelanggan agar mudah membuat keputusan.
Selanjutnya, Bernice mengakui terdapat trend peningkatan populariti untuk penjualan peralatan rumah pintar kerana pengguna pada masa ini mahu mencari cara penyelesaian untuk menjadikan kediaman mereka lebih bersaling hubung dan cekap.
“Demi memenuhi permintaan ini, kami sedang meneroka pelbagai produk yang memanfaatkan AI untuk kecekapan dan kemudahan termasuk sistem automasi berasaskan AI dan peralatan pintar yang boleh menyesuaikan diri dengan pilihan pengguna," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau menekankan bahawa matlamat Harvey Norman adalah untuk mengembangkan keupayaan dengan memperkenalkan lebih banyak peranti dan alatan berkuasa AI untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang semakin berkembang.
Ini termasuk kemajuan dalam automasi rumah berasaskan AI, peralatan pintar dan pengalaman dalam kedai yang dipertingkatkan, memastikan kumpulan itu kekal di barisan hadapan dalam landskap teknologi.
“Kami berdedikasi untuk memastikan pelanggan mendapat maklumat dan dilengkapi inovasi terkini, dengan AI memainkan peranan penting dalam perjalanan ini. AI kekal sebagai keutamaan semasa kami melihat ke masa hadapan," kata Bernice.
Dari segi pembesaran kedai ujarnya, syarikat itu kekal komited untuk mengembangkan bilangan kepada 80 di Malaysia. Pada masa ini, ia ada kedai di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Kami mempunyai rancangan pengembangan Harvey Norman di seluruh Malaysia dengan menambah 37 kedai. Pelan pengembangan ini didorong oleh hasrat kami untuk menjadikan Harvey Norman boleh diakses di seluruh wilayah di Malaysia," katanya.
Beliau menambah, jenama itu terus berkembang untuk memenuhi keperluan pelanggan sambil kekal berpegang pada nilai terasnya iaitu kebolehcapaian, kemudahan dan kualiti dengan meletakkan kedainya dalam trafik tinggi serta lokasi mudah diakses.
“Langkah ini, bersama-sama dengan strategi pemilihan kedai kami yang lebih luas, memastikan bahawa cawangan kami tersebar di pelbagai kawasan, menjadikannya mudah bagi pengguna untuk melawat dan merasai sendiri tawaran kami.”
Bagi memastikan penawaran produknya terus sejajar dengan pilihan tempatan, Harvey Norman juga bekerjasama rapat dengan pasukan dan rakan kongsi tempatan untuk memilih dan mengekalkan produk yang sesuai dengan pasaran domestik. - DagangNews.com








