KUALA LUMPUR 5 Dis – Hartanah Kenyalang Berhad memperoleh kontrak bernilai RM42.79 juta daripada Jaya GC Sdn Bhd bagi projek pembinaan pos imigresen serta kuarters di Serikin, Bau, Sarawak.
Kumpulan perkhidmatan pembinaan itu berkata, tender tersebut diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Hartanah Construction Sdn Bhd menerusi surat penganugerahan bertarikh 5 Disember 2025.
Menurut syarikat yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu, projek terbaharu berkenaan dijadualkan untuk perlu bermula pada bulan ini dengan tempoh kontrak tersebut ditetapkan selama 24 bulan.
"Tender ini dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir yang 31 Oktober 2026 sehingga tamat kontrak," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, Hartanah Kenyalang menjelaskan bahawa kontrak yang diterima berkenaan dijangka tidak akan menjejaskan struktur modal atau pemilikan saham syarikat sepanjang kerja-kerja dilakukan.
Tambahnya lagi, sebarang risiko yang terlibat adalah hanya risiko bersifat operasi dan pelaksanaan biasa, serta akan segera ditangani kumpulan berkenaan melalui langkah-langkah tegas sewajarnya.
Pada masa sama, syarikat berkenaan memaklumkan tidak ada pengarah atau pemegang saham utama yang dikenal pasti sebagai mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
"Lembaga Pengarah Hartanah Kenyalang turut menyifatkan penerimaan kontrak ini sebagai memenuhi kepentingan terbaik kumpulan," katanya. - DagangNews.com








