Hartanah Kenyalang terbit 62 juta saham baharu, sasar kumpul RM15.5 juta bagi naik taraf Stadium Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartanah Kenyalang terbit 62 juta saham baharu, sasar kumpul RM15.5 juta bagi naik taraf Stadium Sarawak

Stadium Sarawak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mei – Hartanah Kenyalang Bhd (HKB) yang baru sahaja  disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Jun tahun lalu merancang untuk mengumpul dana baharu sebanyak RM15.5 juta melalui satu pelaksanaan terbitan saham khas.

 

Langkah pengumpulan dana itu melibatkan penerbitan sekitar 62 juta saham baharu bersamaan kira-kira 10% daripada jumlah saham sedia ada syarikat pada harga indikatif 25 sen sesaham.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata dana tersebut akan digunakan bagi menyokong keperluan modal kerja projek pembinaan Stadium Sarawak bernilai RM184.32 juta yang diperoleh syarikat pada Januari tahun ini.

 

“Daripada jumlah itu, kira-kira RM15.35 juta diperuntukkan khusus sebagai modal kerja bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek, termasuk bayaran kepada pembekal, subkontraktor serta keperluan operasi tapak projek.

 

 

 

 

 

 

“Baki dana pula akan digunakan untuk menampung kos berkaitan pelaksanaan terbitan saham serta perbelanjaan operasi lain yang berkaitan dengan aktiviti pengembangan syarikat,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Hartanah Kenyalang berkata projek-projek pembinaan yang sedang dan akan dilaksanakan memerlukan aliran tunai awal yang tinggi sebelum pembayaran daripada klien diterima secara berperingkat.

 

Kontrak Lebih RM500 juta

Sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia, syarikat itu telah memperoleh empat kontrak baharu dengan jumlah keseluruhan nilai projek mencecah RM511.4 juta yang menunjukkan perkembangan pesat syarikat dalam tempoh singkat.

 

Antara projek yang diperoleh termasuk pembangunan Projek Pelancongan Hutan Paya Bakau Sadong Jaya, pembinaan pos imigresen serta projek pembinaan Penjara Sibu di Sarawak.

 

Walaupun syarikat menyatakan  kedudukan tunai semasa masih mencukupi untuk operasi harian, ia memerlukan tambahan dana untuk menyokong pengembangan perniagaan pada masa hadapan.

 

 

 

 

 

 

Syarikat turut menegaskan tambahan modal ini penting bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi global yang boleh memberi kesan kepada aliran tunai dan pelaksanaan projek pembinaan.

 

Pelaksanaan terbitan saham ini dijangka dimuktamadkan menjelang suku kedua tahun 2026, dan syarikat optimis langkah tersebut akan memperkukuh kedudukan kewangan serta menyokong pelan pengembangan jangka pendek dan sederhana. - DagangNews.com