Hartalega kekal di bawah tekanan akibat aktiviti pembelian awal AS sebelum tarif Trump dikuatkuasakan - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartalega kekal di bawah tekanan akibat aktiviti pembelian awal AS sebelum tarif Trump dikuatkuasakan - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 April — Hartalega Holdings Berhad dijangka kekal di bawah tekanan, disebabkan aktiviti pembelian awal pelanggan Amerika Syarikat (AS) menjelang tarif tinggi dikenakan ke atas sarung tangan buatan China, menurut Public Investment Bank Berhad (PublicInvest).
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, penentuan harga saham bagi pengeluar sarung tangan nitril terbesar di dunia itu semakin sukar selepas syarikat berkenaan mencatatkan harga jualan purata (ASP) yang menurun sebanyak 14 peratus sejak Disember 2024.

 

"Selepas mesyuarat bersama-sama pengurusan Hartalega baru-baru ini, kami tetap berhati-hati dengan prospek jangka terdekat kumpulan tersebut memandangkan kedua-dua volum jualan dan ASP kekal dalam tekanan sebelum pelaksanaan tarif timbal balik AS," katanya menerusi satu nota kajian. 


Sementara itu kata PublicInvest, pemain China pula dilihat semakin berkembang secara agresif di pasaran bukan AS, dengan menawarkan harga bekalan produk yang rendah.


Eksport sarung tangan Malaysia namun kekal berstruktur dan lebih kompetitif di pasaran AS walaupun tarif timbal balik 24 peratus yang diumumkan Presiden Donald Trump baru-baru ini dilaksanakan. 


"Kami tidak menolak kemungkinan bahawa pemain China menyerap sebahagian daripada kos tarif mereka untuk mempertahankan bahagian pasaran," jelas firma penyelidikan tersebut.


Memandangkan persekitaran harga yang lebih lemah dan prospek volum semakin lembut, PublicInvest menyemak semula pendapatan Hartalega untuk tempoh FY25F hingga FY27F ke bawah sebanyak purata 16 peratus.


Firma itu turut menurunkan taraf saranan ke atas Hartalega daripada "Berprestasi Lebih Baik" kepada "Neutral", dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak RM2.05 sesaham.


Hartalega kini beroperasi pada kadar penggunaan 60 hingga 65 peratus berdasarkan kapasiti tahunan 37 bilion keping sarung tangan.


Untuk menyelaraskan operasinya secara lebih baik dengan tahap permintaan semasa, kumpulan itu merancang untuk mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 13 peratus kepada kira-kira 7,000 pekerja menjelang 1HFY26," kata PublicInvest.


Bagaimanapun ia percaya pelarasan buruh ini adalah sebahagian daripada strategi Hartalega untuk mengoptimumkan kecekapan operasi dan mengekalkan kawalan kos dalam persekitaran pasaran yang lebih lemah. - DagangNews.com