Hari penentuan Sunway ambil alih IJM. Mungkinkah keajaiban akan berlaku? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hari penentuan Sunway ambil alih IJM. Mungkinkah keajaiban akan berlaku?

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 April - Selepas 84 hari berlalu sejak pengumuman rasmi pengambilalihan bersyarat Sunway Group Bhd ke atas IJM Corporation Bhd, hari ini akan menentukan sama ada tawaran itu bakal menjadi kenyataan ataupun sebaliknya.

 

Jika pada pukul 5 petang ini Sunway masih gagal mengumpul persetujuan lebih 50% pemegang saham IJM, maka tawaran tersebut automatik terbatal.

 

Laporan akhbar menunjukkan sehingga akhir Mac, Sunway baru mengumpul kira-kira 13.7% persetujuan penerimaan termasuk pegangan sedia ada serta saham yang telah disahkan.

 

 

 

 

 

 

 

Meskipun angka itu menandakan jurang yang besar berbanding ambang minimum yang ditetapkan, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah tetap optimis potensi kejayaan penggabungan itu.

 

“Keajaiban masih boleh berlaku. Kami masih dalam persaingan kerana perlumbaan belum berakhir," katanya kepada sidang media baru-baru ini.

 

Sunway menawarkan RM3.15 sesaham kepada pemegang saham IJM, yang akan diselesaikan melalui gabungan 10% tunai bersamaan 31.5 sen dan 90% dalam bentuk saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.

 

Cadangan pengambilalihan itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat utama iaitu Sunway perlu memperoleh penerimaan sah melebihi 50% daripada jumlah saham mengundi IJM.

 

Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memegang kira-kira 49% saham IJM, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 20.5%, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dengan 9.6% dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan 13.5%. 

 

Kesemua GLIC berkenaan dilaporkan menolak tawaran Sunway, sekali gus menjadikan tawaran Sunway dilihat sukar untuk direalisasikan.

 

Sekiranya syarat tersebut gagal dipenuhi menjelang tarikh akhir hari ini atau lebih tepat pukul 5 petang, tawaran itu akan luput secara automatik. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dalam keadaan itu, semua saham yang telah diterima akan dipulangkan semula kepada pemegang saham IJM.

 

Penggabungan yang dicadangkan ini sebelum ini dilihat berpotensi mewujudkan sebuah “juara nasional” dalam sektor pembinaan dan hartanah, selain mengukuhkan kedudukan kedua-dua kumpulan dalam landskap industri tempatan. - DagangNews.com