Harga telur cuma naik 5 sen selepas subsidi dihapus, prestasi QL Resources pada FY26 tertekan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga telur cuma naik 5 sen selepas subsidi dihapus, prestasi QL Resources pada FY26 tertekan - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Sept – Walaupun subsidi telur ayam dimansuhkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025, harga jualan purata (ASP) hanya dapat dinaikkan sebanyak 5 sen sebiji, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Keadaan ini kata firma itu, menyebabkan margin segmen Integrasi Ladang ke Makanan (ILF) QL Resources Berhad dijangka menyusut dalam suku kedua tahun kewangan 2026, sekali gus menekan prestasi secara keseluruhan.


Sebelum ini tambah firma penyelidikan tersbeut, subsidi sebanyak 10 sen sebiji dikurangkan kerajaan kepada 5 sen mulai 1 Mei 2025, sebelum dihapuskan sepenuhnya pada Ogos dan harga telur diapungkan mengikut pasaran.


"Bagaimanapun, peningkatan ASP telur ayam yang hanya sebanyak 5 sen itu mengehadkan pemulihan margin syarikat,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya hari ini.

 

 

 

 

 


Bekalan telur di peringkat industri namun kata firma berkenaan, adalah kekal ketat, membolehkan QL Resources mampu mengekalkan volum jualan meskipun margin keuntungan kumpulan itu terjejas. 


Tambahan pula, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kestabilan harga bahan makanan seperti jagung dan soya dilihat membantu meredakan sebahagian tekanan kos.


Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham QL Resources, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.25, berdasarkan unjuran kadar pertumbuhan jangka panjang sebanyak 4%.


Firma penyelidikan itu menjangkakan cabaran operasi dalam segmen ILF dan Peruncitan Nilai Tambah (CVS) akan terus membataskan pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi FY26, walaupun terdapat sumbangan positif dari segmen lain.


Segmen Pembuatan Produk Makanan Laut (MPM) kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan kumpulan. 


Walaupun berdepan tekanan kos disebabkan pendaratan ikan yang lemah, perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta permintaan lembap, Maybank IB menjangka permintaan serta harga produk surimi dan sejuk beku terus stabil.


Kilang pemprosesan QL Resources di Indonesia, iaitu PT Hasil Laut, ketika ini beroperasi pada kadar penggunaan hanya sekitar 20%, namun usaha pemasaran sedang dipertingkat untuk merangsang pertumbuhan jualan.


Segmen CVS, termasuk operasi FamilyMart – dijangka terus berdepan cabaran akibat jualan lemah setiap cawangan dan tekanan kos daripada gaji minimum, SST ke atas sewaan, dan tarif utiliti yang meningkat.


Sebaliknya, segmen Tenaga Bersih dan Operasi Korporat (POCE) dijangka memberikan nafas baharu kepada kumpulan menerusi penyertaan dalam projek tenaga boleh diperbaharui melalui BM Greentech.


“QL Resources menyasarkan peningkatan tempahan projek solar dan tenaga hijau lain, selaras dengan hasratnya untuk keluar sepenuhnya daripada perniagaan perladangan,” kata Maybank IB.

 

 

 

 

 


Kumpulan kini dalam proses untuk melupuskan satu lagi kilang pemprosesan dan ladang kelapa sawit yang masih dimiliki di Sabah, sebagai langkah menyusun semula fokus perniagaan ke arah sektor berimpak tinggi dan mapan.


Meskipun segmen MPM dan POCE memberi sedikit kelegaan, Maybank IB berpandangan cabaran berterusan dalam ILF dan CVS mengehadkan pertumbuhan pendapatan QL Resources untuk tahun kewangan semasa. - DagangNews.com