Harga tanah dibeli Avaland di U-Thant hanya 12% GDV beri kelebihan margin, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga tanah dibeli Avaland di U-Thant hanya 12% GDV beri kelebihan margin, kata PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 April — Langkah Avaland Berhad membeli tanah pegangan bebas seluas 0.76 hektar di lokasi premium Taman U-Thant di ibu negara pada harga RM86 juta dilihat menarik perhatian pasaran.


Menurut analisis Public Investment Bank (PublicInvest), kos tanah diambil alih syarikat tersebut hanya mewakili kira-kira 12% daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) yang berjumlah RM700 juta.


Harga pemerolehan RM1,050 kaki persegi itu dianggap kompetitif berbanding transaksi setara di kawasan sama, serta memberi kelebihan margin besar kepada projek pembangunan kediaman yang dirancang.


"Justeru, kami mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas Avaland dengan harga sasaran (TP) 30 sen, bersandarkan diskaun 60% kepada nilai buku, selari penilaian dalam sektor hartanah," tambahnya.


Ujar PublicInvest, dengan nisbah gear bersih rendah sekitar 0.24 kali, syarikat itu berada dalam kedudukan kukuh bagi membiayai pembelian itu melalui gabungan sumber dana dalaman dan pinjaman bank.


Tanah tersebut terletak di kawasan strategik berhampiran Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak serta mempunyai akses terus ke Lebuhraya AKLEH, selain disokong kemudahan sekolah antarabangsa.

 

Artikel berkaitan: Avaland beli 3 lot tanah RM86 juta di Taman U-Thant bangunkan projek mewah GDV RM700 juta

 

Di samping itu jelas firma penyelidikan berkenaan, situasi penduduk di taman perumahan tersebut dengan gaya hidup premium, sekali gus menjadikannya lokasi ideal bagi pembangunan kediaman mewah.


"Langkah ini sejajar strategi jangka panjang Avaland memperkukuh kehadiran dalam segmen hartanah mewah di Lembah Klang, selepas kejayaan projek sebelum ini di Damansara dan Seputeh," katanya.


Pada masa sama tambah PublicInvest, kumpulan tersebut merancang melancarkan banyak projek dengan GDV keseluruhan RM1.7 bilion bagi tahun kewangan 2026, melibatkan beberapa pembangunan baharu.


Antaranya kata firma berkenaan, termasuk pelbagai projek mewah di sekitar Kuala Lumpur sendiri dan pembangunan bercampur di Petaling Jaya, Selangor yang dijadualkan dalam tempoh yang terdekat.


Dengan pemerolehan terbaharu ini, jumlah bank tanah Avaland mencecah 76.67 hektar dengan potensi GDV dianggarkan RM11.6 bilion, mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com