KUALA LUMPUR 12 Jan — Maybank Investment Bank masih lagi mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas SD Guthrie Berhad, namun menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM6.31 berbanding RM5.75 sebelum itu.
Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran berkenaan disokong oleh prospek kenaikan nilai tanah syarikat dan potensi pendapatan tinggi secara berulang daripada pembangunan banyak taman perindustrian.
Sejak pertengahan 2024, kumpulan berkenaan sudah menandatangani lebih 10 memorandum persefahaman (MoU) dan usaha sama (JV), termasuk dua perjanjian jual beli (SPA) melibatkan beberapa buah negeri.
"Keluasannya melebihi 6,000 hektar tanah yang dikenal pasti SD Guthrie untuk projek pembangunan taman perindustrian di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kedah," kata Maybank IB dalam notanya.
Kesemua projek baharu itu jelasnya, dijangka memberi pendapatan berulang antara RM500 juta hingga RM700 juta setahun, sekali gus meningkatkan kestabilan aliran tunai syarikat dalam jangka panjang.
Katanya, transaksi tanah pertanian di Johor, Selangor dan Negeri Sembilan pada 2025 menunjukkan harga semasa melebihi jangkaan pasaran, termasuk rekod tertinggi RM20 kaki persegi (psf) di Kulai.
Berdasarkan kepada perkembangan ini, Maybank IB menaikkan anggapan nilai tanah milik SD Guthrie secara konservatif, dengan Johor RM1.80 psf, Selangor RM6.00 psf, dan Negeri Sembilan RM2.40 psf.
"Unjuran tersebut meningkatkan Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV) syarikat kepada RM11.47 sesaham, dengan penekanan ke atas penyebaran geografi projek merentasi beberapa negeri," tambahnya.
Jelas firma berkenaan, keadaan itu memberi kepelbagaian risiko dan peluang pembangunan strategik, termasuk lokasi berpotensi tinggi seperti Kulai, Johor; Kulim, Kedah dan MVV2.0, Negeri Sembilan.
Prospek ini kata Maybank IB, dijangka menarik pelabur dan pemain industri global, sementara potensi hasil berulang daripada projek taman perindustrian menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang.
Sehubungan itu tambahnya, dengan faktor-faktor berkenaan, kenaikan TP baharu RM6.31 sesaham mencerminkan peluang pelaburan yang menarik bagi SD Guthrie sendiri. - DagangNews.com








