KUALA LUMPUR 10 Dis – Maybank Investment Bank menurunkan saranan Top Glove Corporation Berhad kepada 'pegang' selepas harga saham kumpulan itu susut apabila berada pada paras nilai 60 sen.
Firma penyelidikan berkenaan namun mengekalkan unjuran pendapatan serta harga sasaran pada 61 sen, bersamaan satu kali jangkaan nisbah harga kepada nilai buku (PBV) 2027 daripada purata lima tahun.
Penilaian itu berdasarkan kadar penggunaan kapasiti meningkat kepada 75%, berbanding 71% pada suku keempat FY25, disokong permintaan stabil terutamanya daripada pelanggan Amerika Syarikat (AS).
"Bahagian jualan Top Glove ke pasaran AS pada ketika ini juga didapati berjaya meningkat kepada kira-kira 35%, daripada hanya 26% pada FY25," kata Maybank IB dalam nota kajiannya hari ini.
Harga jualan sarung tangan nitril ringan pula dilihat stabil pada AS$17 (RM70) bagi setiap 1,000 keping, dan potensi harga jualan purata (ASP) diandaikan AS$20 (RM82) dengan kadar penggunaan 70%.
Kumpulan itu jelasnya, merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 71 bilion keping setahun pada FY26, berbanding 64 bilion pada FY25, melalui pembukaan semula tiga kilang tidak aktif.
Situasi itu akan menambah 16 barisan pengeluaran, dan menunjukkan keyakinan terhadap pemulihan permintaan serta dijangka meningkatkan kecekapan kos apabila penggunaan kapasiti semakin normal.
"Top Glove menyasarkan antara 20% hingga 30% pertumbuhan jumlah jualan pada FY26 serta pemulihan margin seperti keadaan syarikat itu sebelum pandemik Covid-19 menjelang FY27," tambah firma itu.
Maybank IB menjangkakan keputusan 1QFY26 yang bakal diumumkan pada 15 Disember 2025 sebagai lebih kukuh secara sukuan (QoQ), disokong kadar penggunaan lebih tinggi serta penurunan harga lateks.
Produk berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut dijangka mampu susut sebanyak 6% QoQ, dan faktor ini dijangka membantu mengimbangi kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS sendiri.
Walaupun mengekalkan unjuran pendapatan, ia menaik taraf saranan kepada 'pegang' berikutan kelemahan harga saham kebelakangan ini, dengan harga sasaran kekal 61 sen. - DagangNews.com








