KUALA LUMPUR 5 Jan — TA Securities berpandangan isu penurunan mendadak harga saham Mah Sing Group Berhad sepanjang 2025 adalah didorong oleh faktor sentimen berlebihan dalam kalangan pelabur.
Bagaimanapun jelasnya, situasi itu membuka peluang nilai menarik berikutan asas perniagaan kumpulan adalah kekal utuh, dan dipilih sebagai saham pilihan utama firma penyelidikan tersebut bagi 2026.
Justeru, ia masih meneruskan saranan 'beli' dengan harga sasaran iaitu RM1.72 sesaham, meskipun saham syarikat berkenaan sudah susut kira-kira 46% daripada paras paling tinggi tahunan pada 2025.
"Penyusutan tersebut banyak dipengaruhi kebimbangan pasaran terhadap kerjasama Bridge Data Centre (BDC) serta sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) global," kata TA Securities dalam notanya.
Keadaan berkenaan tambah firma penyelidikan itu, telah menyebabkan penilaian saham Mah Sin terpisah daripada realiti asas kewangan syarikat tersebut sendiri yang sebenarnya positif untuk pelaburan.
Pada paras semasa 96 sen, ia diniagakan diskaun hampir 40% kepada nilai buku, dengan nisbah harga kepada nilai buku (P/B) CY26 sekitar 0.6 kali, rendah berbanding purata 15 tahun iaitu 0.68 kali.
Dari segi pendapatan pula jelas TA Securities, saham Mah Sing didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan kira-kira 9 kali, juga di bawah purata sejarah serta rakan setara sektor.
"Tekanan jualan akibat faktor kebimbangan penurunan intensiti perkakasan AI susulan kemunculan model AI kos rendah, dan tamat tempoh eksklusif perjanjian kerjasama BDC di Southville," katanya.
Firma itu namun percaya kedua-dua risiko tersebut sudah sepenuhnya diambil kira dalam harga saham dengan pengurusan Mah Sing masih meneruskan perbincangan dengan beberapa pengendali pusat data.
Ini kata TA Securities, termasuk pilihan penjualan tanah secara langsung atau model bina-untuk-pajak (BTL) secara terpilih, yang memberikan fleksibiliti dan potensi nilai tambah pada masa depan.
Dari segi asas pula, jualan hartanah pada FY25 berada di landasan untuk mencapai sasaran RM2.65 bilion, dengan tempoh sepanjang 9M25 sudah Berjaya mencapai 72% daripada sasaran setahun penuh.
"Jualan belum dibilkan berjumlah RM3.14 bilion, iaitu paras paling tinggi dalam masa lapan tahun, memberikan keterlihatan pendapatan kepada Mah Sing yang kukuh hingga 2026," kata firma tersebut.
Kedudukan kewangan juga kekal sihat dengan nisbah gear bersih 0.25 kali dan tunai RM1.17 bilion, selain pengisian semula bank tanah yang nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.4 bilion pada 2025.
Situasi itu tambah TA Securities, tidak menjejaskan imbangan akaun, dan melihat beberapa pemangkin pada 2026, termasuk pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Potensi pengewangan tanah berkaitan pusat data, serta pengembangan segmen perindustrian menerusi MS Industrial Park @ Kulai, menyokong trend penyusunan semula rantaian bekalan pembuatan serantau.
"Secara keseluruhan, risiko penurunan adalah terhad pada paras semasa, manakala potensi kenaikan adalah asimetri, disokong keterlihatan hasil, imbangan kira-kira dan pemangkin struktur," katanya.
Saham Mah Sing di Pasaran Utama Bursa Malaysia setakat pukul 10.30 pagi ini diniagakan kukuh apabila meningkat kepada RM1.04 sesaham, naik 6 sen iaitu bertambah 6.12%. - DagangNews.com








