KUALA LUMPUR 2 Sept – Kimlun Corporation Berhad berada di landasan kukuh mencatatkan lonjakan harga saham disebabkan oleh banyak faktor, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, ini termasuk prestasi kewangan kumpulan berkenaan yang lebih teguh, unjuran prospek pertumbuhan cukup memberangsangkan, dan aliran teknikal bergerak positif.
Saham syarikat itu katanya, ketika ini didagangkan melepasi semua purata pergerakan utama (20, 50, 100 dan 200 hari), mencerminkan momentum menaik sederhana hingga jangka panjang yang jelas.
“Dengan corak teknikal berbentuk ‘V’ bermula 80 sen sesaham pada 4 September 2024, Kimlun kini bersedia menembusi rintangan utama kepada RM1.37, RM1.48 dan RM1.54,” kata HLIB dalam notanya.
Kimlun mengejutkan pasaran dengan keputusan suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) yang amat baik, apabila pendapatan kumpulan itu melonjak 53.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM432.2 juta.
Perkembangan positif itu kata firma tersebut, disumbang oleh faktor prestasi kukuh dalam segmen pembinaan, konkrit pra-tuang, serta sumbangan awal daripada projek pembangunan Pinegate Fasa 1.
Keuntungan bersih pada tempoh 1H25 sebanyak RM49.3 juta pula jauh mengatasi jangkaan, meletakkan asas kepada semakan semula unjuran pendapatan yang lebih tinggi bagi tempoh akan datang.
HLIB menekankan bahawa buku tempahan terkini Kimlun kini mencecah rekod RM3.4 bilion, termasuk RM2.76 bilion kerja pembinaan yang belum dibil atau sekitar 2.8 kali ganda hasil pembinaan FY24.
Ini memberi kepastian pendapatan yang tinggi sekurang-kurangnya sehingga FY26, selaras dengan sasaran syarikat berkenaan memperoleh kontrak baharu bernilai RM1.5 bilion hingga RM2.0 bilion.
“Lonjakan buku tempahan ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada semakan naik pendapatan, sekali gus membuka ruang penilaian semula positif terhadap saham Kimlun,” ujar firma tersebut.
Selain pembinaan, kapasiti konkrit pratuang Kimlun kini beroperasi hampir penuh, berikutan pengembangan kapasiti yang terdahulu, manakala projek hartanah juga memberikan sumbangan positif.
Antaranya tambah HLIB ialah Arden JB dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta, Arden Fasa 1 yang 78% sudah siap, dan 80% kadar ambilan unit serta Pinegate Fasa 1 yang mula menjana hasil.
Berdasarkan asas itu, HLIB menaikkan unjuran keuntungan bersih FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak +29.6%, +23.9% dan +14.0%, serta meningkatkan harga sasaran kepada RM1.67 sesaham.
"Keadaan ini mencerminkan keyakinan terhadap momentum pertumbuhan berterusan Kimlun dan kami juga
menyifatkan ia sebagai antara kaunter pembinaan paling menarik ketika ini," kata firma itu lagi.
Keyakinan tersebut tambahnya, disokong oleh rekod tempahan kerja, pemulihan sektor pembinaan dan industri pratuang, sumbangan hartanah yang stabil serta prestasi kewangan mengatasi jangkaan.
Dengan indikator teknikal dan asas fundamental yang sejajar kata HLIB, Kimlun dijangka mampu terus menarik perhatian ramai pelabur dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








