KUALA LUMPUR 30 Mac — SD Guthrie Bhd kekal yakin paras harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi mampu bertindak sebagai pelindung nilai semula jadi dalam menangani peningkatan kos diesel dan logistik.
Menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest), kumpulan itu telah mengunci kira-kira 42% pengeluaran Malaysia bagi tempoh April hingga Disember 2026 pada harga purata RM4,400 satu tan, sedikit rendah berbanding harga semasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia iaitu RM4,466 satu tan.
Firma penyelidikan itu berkata, strategi penguncian harga tersebut memberi kejelasan pendapatan kepada syarikat dalam persekitaran kos yang tidak menentu.
Selain itu, SD Guthrie turut mengambil langkah proaktif dengan mengunci sepenuhnya kos baja, yang merangkumi sekitar 27% hingga 28% daripada kos langsung bagi tahun 2026.
“Diesel yang menyumbang kurang daripada 5% kos langsung kekal sebagai risiko yang boleh diurus di Malaysia, namun memberi impak lebih besar kepada operasi di Indonesia berikutan kebergantungan kepada kilang berasaskan diesel,” katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest turut memberi amaran konflik berpanjangan di Timur Tengah berpotensi meningkatkan kos bahan api bunker global serta menyebabkan kelewatan penghantaran minyak sawit, khususnya bagi operasi SD Guthrie di Papua New Guinea.
Dari segi operasi, syarikat itu merekodkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 1.2 juta tan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, susut 4.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, SD Guthrie menyasarkan pertumbuhan pengeluaran FFB pada kadar pertengahan satu digit bagi tahun ini, disokong oleh peningkatan hasil di Malaysia, Indonesia serta prestasi kukuh di Papua New Guinea.
Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan saranan “Outperform” terhadap saham SD Guthrie dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.79, mengambil kira prospek pendapatan yang stabil serta strategi pengurusan kos yang berkesan. - DagangNews.com








