Harga minyak sawit terlalu tinggi hakis permintaan global, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit terlalu tinggi hakis permintaan global, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Okt – Kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) terlalu tinggi mencecah paras RM4,500 satu tan kini mengundang risiko serius terhadap permintaan global, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut justeru memberi amaran fenomena yang kelaziman dirujuk sebagai 'demand destruction' itu boleh menjejaskan prospek jangka pendek sektor perladangan tempatan sendiri.


Bagaimanapun tambahnya, ia masih menamakan Johor Plantations Group Berhad sebagai saham pilihan utama dengan dinilai positif serta perlu diberikan perhatian secara luas oleh para pelabur yang berminat.


Ia juga mengekalkan saranan 'neutral ke atas sektor itu meskipun menaikkan unjuran harga MSM bagi 2025 dan 2026, sambil menekan agar berwaspada ke atas permintaan semakin merosot pada harga semasa.


“Diskaun harga MSM berbanding minyak kacang soya (SBO) sudah mengecil secara drastik kepada hanya AS$42 (RM177) satu tan, sekali gus menjejaskan daya saing MSM," jelas RHB Research dalam notanya. 


Tambahnya, jika trend itu berterusan, negara pengimport MSM seperti India boleh beralih kepada SBO, dan ini sudah berlaku, serta menjejaskan sebarang lonjakan dalam penilaian saham perladangan.


Setakat Ogos 2025, import MSM oleh India jatuh sebanyak 18% secara tahunan apabila negara terbesar rantau Asia Selatan itu bertukar kepada SBO, selepas mendapati harga MSM yang kurang kompetitif.


China kata RHB Research, terus mengelak pembelian kacang soya Amerika Syarikat (AS), sebaliknya menambah stok dari Brazil yang kini menyumbang 76% daripada eksport SBO negara Asia Timur itu.


"Angka ini lebih tinggi daripada purata 65%. Argentina menambah tekanan pasaran dengan memansuhkan cukai eksport soya, jagung dan biodiesel dari 22 September hingga akhir Oktober 2025," tambahnya.


Akibatnya, ia menjangkakan lebihan stok kacang soya dunia bakal mencecah paras tertinggi sejak beberapa tahun, dengan nisbah stok dan penggunaan global naik kepada 29.5% menjelang Ogos 2026.


Situasi ini jelas RHB Research, berpotensi mengheret harga SBO lebih rendah, sekali gus menghakis lagi daya saing MSM, namun begitu, terdapat beberapa faktor yang boleh membalikkan keadaan semasa.


Antaranya, cuaca ekstrem disebabkan fenomena La Niña serta pelaksanaan mandat biodiesel B50 oleh Indonesia pada 2026 dijangka menambah permintaan domestik MSM negara itu sebanyak 2.65 juta tan.


"Bagaimanapun, pelbagai isu lain seperti kekangan kapasiti, keperluan pembiayaan tambahan dan perdebatan sama ada makanan 'melawan' bahan api masih menjadi penghalang utama," kata firma itu.


RHB Research menambah, di samping itu faktor kebarangkalian La Niña meningkat kepada 71% dalam tempoh tiga bulan akan datang, mungkin menjejaskan pula tanaman kacang soya di Amerika Selatan.


Justeru, firma tersebut menaikkan unjuran harga MSM kepada RM4,350 setiap tan untuk 2025 berbanding RM4,100, dan RM4,250 pada 2026 daripada ramalan sebelum ini yang hanya sebanyak RM4,000.


Ia namun percaya kebanyakan saham perladangan sudah memfaktorkan harga semasa dalam penilaian mereka dan perubahan unjuran pendapatan syarikat hanya dibuat dalam tempoh sebulan akan datang.


“Kami tidak menjangkakan sebarang penarafan besar terhadap sektor ini, walaupun berlaku pelarasan harga MSM oleh pasaran,” jelas RHB Research yang membuat liputan ke atas 13 syarikat sektor berkenaan.


Selain Johor Plantations, ia turut menamakan IOI Corporation, SD Guthrie, Sarawak Oil Palms, London Sumatra Indonesia, dan First Resources sebagai saham pilihan. - DagangNews.com