KUALA LUMPUR 14 April – Ketegangan geopolitik di Timur Tengah akibat kegagalan Rundingan Islamabad dilihat menjadi pemangkin utama kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM), menurut penganalisis.
Firma-firma penyelidikan menambah, situasi tersebut turut dipacu faktor inventori Malaysia yang menyusut ketara sebanyak 16% bulan ke bulan (MoM) kepada sekitar 2.27 juta tan pada Mac 2026.
Mereka berpandangan, gabungan faktor luaran seperti lonjakan harga minyak mentah dan permintaan biofuel, bersama asas pasaran semakin ketat, berpotensi menyokong harga MSM dalam jangka terdekat.
Antaranya Phillip Capital Research yang melihat penyusutan inventori didorong peningkatan eksport sebanyak 40.7% MoM, walaupun pengeluaran sawit dilaporkan bertambah 7.2% kepada 1.38 juta tan.
"Eksport kukuh disokong permintaan pasaran utama seperti China, India dan Amerika Syarikat (AS), selain kelebihan harga relatif minyak sawit berbanding minyak kacang soya," katanya dalam nota.
Justeru firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan, namun bersikap positif secara taktikal terhadap harga MSM dalam jangka pendek, dipacu faktor risiko geopolitik.
Kata Phillip Capital, jika harga minyak mentah melebihi AS$100 (RM395) setong dan pelaksanaan biodiesel B50 di Indonesia berjalan lancar, terdapat potensi kenaikan kepada unjuran harga semasa.
Ia mengekalkan unjuran purata harga MSM tahun ini melepasi RM4,200 satu tan, sambil menyatakan setiap kenaikan RM100 satu tan boleh meningkatkan lagi keuntungan syarikat perladangan sehingga 9%.

"Antara pilihan utama kami ialah IOI Corporation Berhad, didorong operasi huluan berskala besar serta kedudukan kewangan kukuh kumpulan berkenaan selama ini," jelas firma penyelidikan tersebut.
Sementara itu, AmInvestment Bank Research mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor tersebut, dengan unjuran purata harga MSM yang lebih tinggi mencecah RM4,400 satu tan bagi 2026.
Firma itu turut mengesahkan inventori sawit Malaysia menyusut kepada sekitar 2.3 juta tan pada Mac 2026, sejajar dengan jangkaan pasaran semasa, berikutan lonjakan eksport yang semakin ketara.
Menurutnya, pengeluaran MSM dijangka menyederhana pada April 2026 sebelum naik semula pada Mei 2026, dengan prestasi menjelang separuh kedua 2026 diunjurkan lebih kukuh secara bermusim.
"Kami turut menekankan impak konflik geopolitik semasa ketika ini terhadap kos input, khususnya baja, yang merangkumi sehingga 40% daripada keseluruhan kos pengeluaran," jelas AmInvest.
Ujar firma itu, kenaikan harga baja akibat gangguan rantaian bekalan global di rantau Timur Tengah mungkin meningkatkan kos, namun sebahagiannya sudah diimbangi oleh harga MSM yang lebih tinggi.
Pada masa sama, ia berpandangan kenaikan harga komoditi semasa masih terkawal berbanding lonjakan ekstrem ketika konflik Rusia-Ukraine pada 2022, serta mengurangkan risiko kemusnahan permintaan.
Secara keseluruhan, AmInvest melihat prospek sektor perladangan dipacu faktor luaran khususnya harga tenaga dan geopolitik, dengan hala tuju harga MSM kekal positif dalam jangka pendek. - DagangNews.com








