Harga minyak sawit mentah diunjur rendah pada 2026 disebabkan pengeluaran global mula normal - MARC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur rendah pada 2026 disebabkan pengeluaran global mula normal - MARC

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Dis – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka memasuki 2026 dengan nada yang lebih lemah selepas mencatat paras agak tinggi sepanjang tahun ini, menurut MARC Ratings.


Firma penyelidikan tersebut menjangkakan harga MSM bergerak dalam lingkungan RM3,850 hingga RM4,250 satu tan pada 2026, lebih rendah berbanding anggaran pada 2025 iaitu RM4,300 satu tan.


Katanya, unjuran ini disokong oleh faktor cuaca yang semakin stabil, pemulihan hasil ladang, serta normalisasi pengeluaran global, menandakan peralihan daripada kekangan bekalan secara ketara.


"Sebelum ini harganya pernah tinggi pada awal 2025, dan walaupun harga purata 2025 baik berbanding 2024, lonjakan bekalan Indonesia yang besar daripada dijangka mengekang momentum harga," katanya.


MARC menambah, pengeluaran sawit Indonesia naik 11.3% setakat September 2025, manakala Malaysia meningkat 1.8%, dengan pemulihan hasil dibantu cuaca yang bertambah baik pasca El Niño 2023–2024.


Bagaimanapun ia menekankan bahawa isu jangka panjang dalam industri kelapa sawit kekal sukar diselesaikan, disebabkan antaranya, kadar penanaman semula yang rendah hanya purata 2% setahun.


Ia adalah separuh daripada kadar ideal 4%, manakala kos permulaan tinggi terus membebankan pekebun kecil, selain tekanan peraturan seperti EUDR 2026 yang memerlukan dokumentasi telus lebih ketat.


"Indonesia pula turut berdepan dengan isu sama, apabila program penanaman semula pekebun kecil di negara itu sebenarnya masih jauh daripada sasaran ditetapkan oleh kerajaannya sendiri," kata MARC.


Sementara itu, permintaan global ke atas MSM dijangka terus menyokong harga, walaupun pengeluaran keseluruhan kekal sedikit melebihi penggunaan, termasuk disebabkan tindakan pihak berkuasa India.


Negara tersebut dijangka meneruskan pembelian agresif kerana daya saing harga MSM berbanding minyak kacang soya dan bunga matahari, manakala sektor biofuel global dijangka bertambah kukuh.


Penggunaan minyak dan lemak dunia kata MARC, diramal naik 2.1% pada 2026, selain usaha Indonesia .
meningkatkan biodiesel daripada 35% kepada 40%, berpotensi menambah lebih 4 juta tan setahun.


"Prospek minyak pesaing dilihat tidak sekata pada 2026 dengan Brazil mahu meningkatkan pengeluaran kacang soya, tetapi Amerika Syarikat dan Argentina meramalkan hasil lebih rendah," jelasnya.


Dalam pada itu kata firma penyelidikan tersebut, Eropah dan Kanada mengalami taburan hujan rendah, yang mengancam pemulihan hasil biji sesawi untuk industri pengeluaran minyak sayuran kanola.


Keadaan bercampur ini ujar MARC, memberi isyarat bahawa MSM tidak mungkin mengulangi paras puncak ketika 2024 hingga 2025, namun masih disokong pada tahap harga stabil di pasaran global semasa.


Justeru, ia melihat pasaran pada masa ini memasuki fasa peralihan daripada kekangan bekalan kepada keseimbangan struktur, dengan pengeluaran komoditi yang mungkin meningkat seiring pemulihan cuaca. 


"Harga 2026 dijangka kekal dalam julat sederhana RM3,850 hingga RM4,250, dengan pasaran masa depan menunjukkan fasa yang mahal pada 1H26 sebelum beralih kepada penyusutan pada 2H26," katanya.


Dari segi risiko penurunan pula, MARC berkata ia mungkin datang daripada permintaan import yang lemah atau persaingan harga minyak sayuran lain. - DagangNews.com