Harga minyak sawit mentah dijangka stabil antara RM4,000-RM4,300 pada Mac 2026 - MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka stabil antara RM4,000-RM4,300 pada Mac 2026 - MPOC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb – Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka bergerak dalam julat RM4,000 hingga RM4,300 satu tan pada Mac ini, disokong oleh pengukuhan harga minyak soya serta jangkaan penyusutan bekalan serantau.

 

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran sawit Malaysia susut secara bermusim kepada 1.58 juta tan pada Januari 2026, turun 13.8% berbanding bulan sebelumnya.

 

“Dalam tempoh sama, eksport meningkat 11.4% kepada 1.48 juta tan, sekali gus mencatatkan jumlah bulanan kedua tertinggi dalam tempoh 12 bulan lalu.

 

“Peningkatan eksport itu didorong terutamanya oleh permintaan lebih kukuh dari India dan Mesir, dengan penghantaran ke India mencecah paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan manakala eksport ke Mesir mencapai paras tertinggi 13 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut MPOC, asas pasaran minyak sawit dijangka bertambah baik secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang, didorong oleh eksport Malaysia yang lebih kukuh pada suku pertama tahun ini.

 

Selain itu, langkah Indonesia mempercepatkan penghantaran sebelum kenaikan levi eksport pada Mac dijangka mengurangkan paras inventori minyak sawit di kedua-dua negara pengeluar utama tersebut.

 

MPOC berkata dari sudut permintaan, India dijangka meningkatkan semula penggunaan minyak sawit berikutan daya saing harga yang bertambah baik sejak akhir 2025.

 

“Penggunaan minyak sawit di India diramal meningkat sebanyak 800,000 tan pada 2026, manakala penggunaan minyak soya dan minyak bunga matahari dijangka menyusut secara gabungan sebanyak 400,000 tan.

 

“Data Januari 2026 turut menunjukkan perubahan tersebut apabila import minyak sawit India meningkat ke paras tertinggi empat bulan, manakala import minyak soya merosot ke paras terendah dalam tempoh 11 bulan,” kata MPOC.

 

Sentimen Positif

Di peringkat global, harga minyak sayuran kekal disokong pada Februari, didorong oleh sentimen positif terhadap dasar biofuel Amerika Syarikat serta kenaikan harga minyak mentah susulan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan Iran.

 

Harga minyak mentah Brent dilaporkan meningkat 17% tahun ke tarikh kepada AS$72 setong pada Februari, manakala harga empat minyak sayuran utama dunia naik antara 1% hingga 7% dalam tempoh sama.

 

Keyakinan terhadap dasar biofuel Amerika Syarikat yang memihak kepada minyak soya keluaran domestik turut melonjakkan harga minyak soya negara itu sebanyak 17% pada Februari, sekali gus didagangkan pada premium AS$172 berbanding minyak soya dari Argentina.

 

Bagaimanapun, MPOC berkata potensi kenaikan harga minyak sawit mungkin dihadkan oleh peningkatan aktiviti pemprosesan kacang soya, khususnya di China yang menjadi pengeksport bersih minyak soya buat kali pertama pada 2025 dan dijangka mengekalkan kedudukan itu pada 2026 dengan eksport sekitar 850,000 tan.

 

MPOC berkata meskipun bekalan minyak sawit dalam tempoh terdekat dijangka lebih terhad berikutan pengeluaran yang menyusut dan kemerosotan inventori serantau, perkembangan tersebut memberi sokongan asas kepada harga komoditi berkenaan.

 

“Pada masa sama, pemulihan permintaan dari India serta pengukuhan harga minyak soya Amerika Syarikat terus menjadi pemangkin positif yang membantu mengekalkan momentum pasaran minyak sawit.

 

“Namun demikian, lebihan bekalan minyak soya di peringkat global dan peningkatan eksport minyak soya dari China berpotensi mengehadkan ruang kenaikan harga, sekali gus mengekang sebarang lonjakan ketara dalam tempoh terdekat.

 

“Berikutan faktor sokongan dan kekangan tersebut, harga CPO dijangka stabil dan bergerak dalam julat RM4,000 hingga RM4,300 satu tan sepanjang Mac ini,” katanya. - DagangNews.com