Harga minyak sawit mentah dijangka cecah RM4,450 setiap tan bermula 23 Oktober 2025 - Nomura Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka cecah RM4,450 setiap tan bermula 23 Oktober 2025 - Nomura Global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka meningkat kepada RM4,450 setiap tan minggu ini, didorong kebimbangan terhadap langkah Indonesia yang berpotensi mengetatkan eksport serta peningkatan penghantaran keluar dari Malaysia, menurut Nomura Global Market Research.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan harga purata harga MSM meningkat bermula 23 Oktober ini.

 

Katanya, unjuran itu dibuat selepas harga semasa MSM susut dua peratus kepada RM4,411 satu tan pada minggu berakhir 16 Oktober 2025, berdasarkan data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

"Penurunan harga sebelum ini sebahagian besarnya disebabkan kebimbangan pasaran terhadap peningkatan paras inventori domestik dan eksport yang lebih lemah ke India," katanya dalam satu nota kajian.

 

Selepas mencatatkan eksport yang lemah dari Jun hingga Ogos 2025, Nomura berkata, eksport meningkat tujuh peratus bulan ke bulan pada September, dengan tanda-tanda peningkatan berterusan apabila penghantaran naik 16.2 peratus dalam separuh pertama Oktober.

 

Katanya, pertumbuhan itu sebahagian besarnya disokong lonjakan eksport ke China yang meningkat lapan kali ganda, manakala eksport ke Afrika melonjak 55 peratus.

 

Eksport ke rantau Asia Oceania meningkat 16 peratus, ASia Barat 10 peratus, dan benua Amerika enam peratus. Sebaliknya, eksport ke India menjunam 70 peratus, manakala ke Eropah susut enam peratus.

 

“Kami menjangkakan harga akan meningkat disebabkan kebimbangan terhadap sekatan eksport oleh Indonesia serta peningkatan eksport dari Malaysia,” katanya.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran, harga MSM berkemungkinan melemah kepada sekitar RM4,350 satu tan sekiranya harga minyak sayuran lain terus menurun. - DagangNews.com