Harga minyak mentah dikhuatiri naik dalam jangka pendek jika Selat Hormuz ditutup Iran - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah dikhuatiri naik dalam jangka pendek jika Selat Hormuz ditutup Iran - Maybank IB

Foto kredit NBC News
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Jun — Harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dikhuatiri boleh meningkat dalam jangka pendek, jika Iran bertindak menutup Selat Hormuz, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, negara itu sendiri mengeksport minyaknya melalui selat tersebut dan langkah penutupan perairan ini sebenarnya berpotensi besar untuk menjejaskan ekonominya sendiri.


Tambahnya, tindakan tersebut juga secara tidak langsung boleh mengasingkan Iran secara diplomatik dengan dunia luar dan mengundang tindakan balas daripada negara-negara tertentu pula selepas ini.


"Bagaimanapun kenaikan harga komoditi itu bergantung kepada berapa lama sekatan itu berlangsung," kata Maybank IB dalam nota kajian mengenai prospek sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia ketika ini.


Pada 22 Jun 2025, Parlimen Iran meluluskan satu resolusi khas yang mahu Selat Hormuz ditutup susulan operasi serangan tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga fasiliti nuklear Iran sehari sebelumnya.


Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu berkata, langkah Parlimen Iran itu hanya permulaan kerana ia perlu memperoleh kelulusan daripada Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran untuk dimuktamadkan.


Setakat ini menurut Maybank IB, belum ada arahan formal daripada majlis berkenaan dan ia percaya, usaha penutupan selatan tersebut hanya kekal sebagai pilihan terakhir serta dianggap syor terpencil.


"Dalam beberapa ketegangan di rantau Asia Barat sebelum ini, harga minyak mentah diyakini tidak kekal tinggi untuk tempoh masa yang lama, kerana tiada gangguan bekalan berlanjutan," tambahnya.


Ugutan Iran untuk menutup Selat Hormuz juga bukan perkara baharu kerana isu itu pernah dibangkitkan ketika Perang Iran-Iraq pada 1980-an serta sekatan ekonomi oleh AS dan Kesatuan Eropah pada 2011.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, Maybank IB mengekalkan pendirian "neutral" ke atas sektor O&G tempatan dan unjuran harga purata minyak mentah penanda aras Brent AS$67 (kira-kira RM285) setong. 


Saham pilihan utama firma tersebut ialah Dialog Berhad dengan saranan "beli" dan harga sasaran (TP) RM2.34 serta BArmada Berhad juga dengan saranan "beli" dan TP 73 sen. - DagangNews.com