Harga minyak Brent diujur serendah AS$65 setong dibantu oleh lebihan bekalan, penjualan EV - penganalisis  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak Brent diujur serendah AS$65 setong dibantu oleh lebihan bekalan, penjualan EV - penganalisis 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Jan - Penganalisis dan pakar ahli ekonomi mengunjurkan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah antara AS$65 dan AS$77 setong pada 2025 didorong oleh lebihan bekalan dan penjualan kenderaan elektrik (EV).

 

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan pengeluar sekutunya (Opec+) mempunyai rancangan untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah pada April, yang boleh memberi tekanan ke atas harga minyak.

 

Pada masa yang sama, permintaan EV telah berkembang pesat dengan jualan meningkat pada kadar yang pantas, sekali gus menjejaskan permintaan bahan api.

 

Ahli ekonomi OCBC Asean Jonathan Ng menjangkakan harga minyak global akan terus menyederhana, dengan Brent berpurata AS$77 setong, turun daripada unjuran 2024 sebanyak AS$80 setong.

 

Beliau menjangkakan, pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat kekal stabil pada sekitar 2% pada 2025 dibantu oleh pelonggaran dasar monetari global pada separuh kedua tahun lalu (2H24).

 

“Kami meramalkan kestabilan ekonomi AS akan meningkatkan permintaan minyak pada 2025.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan minyak yang rendah daripada China.

 

"China yang telah menyumbang kira-kira 40% daripada pertumbuhan minyak global sejak dua dekad lalu sedang mengalami pemulihan ekonomi yang perlahan, ini mampu mendorong kepada penyusutan dalam penggunaan minyak. 

 

"Permintaan minyak China mungkin mengecewakan dan mungkin mempengaruhi prospek pertumbuhan permintaan minyak global pada 2025," katanya.

 

Beliau juga menjelaskan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang akan bermula pada 20 Januari 2025 bakal memberi kesan yang tidak menentu di pasaran minyak.

 

“Selain itu, ketidaktentuan mengenai tarif di bawah pentadbiran Trump 2.0 tidak boleh diabaikan.

 

"Kesan tarif ini mungkin akan menjejaskan pertumbuhan global dan permintaan komoditi, yang akan menjejaskan harga minyak secara negatif," kata Ng.

 

Sehubungan itu, Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, yang mengunjurkan minyak mentah Brent antara AS$70 dan AS$75 setong pada 2025 berkata ,antara sebab utama harga minyak mentah yang lebih lemah ialah kepesatan jualan EV di seluruh dunia. 

 

“Selain itu, langkah ke arah ekonomi lebih hijau akan menyaksikan percambahan panel solar, hidrogen, angin dan sisa kepada tenaga yang akan mengurangkan pergantungan bahan api fosil dengan berkesan.

 

"Sementara itu, kebimbangan terhadap risiko geopolitik di Asia Barat boleh mengakibatkan turun naik harga minyak mentah secara berkala," katanya. - DagangNews.com