Harga lantai padi RM1,500 setiap tan tidak lagi berbaloi, kerajaan digesa buat semakan semula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga lantai padi RM1,500 setiap tan tidak lagi berbaloi, kerajaan digesa buat semakan semula

Sebahagian kawasan sawah padi di Terengganu - Gambar IADA Ketara
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mei – Kos pengeluaran padi yang terus meningkat ketika ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesawah apabila keuntungan yang diperoleh semakin mengecil dan menguatkan gesaan agar harga lantai padi semasa disemak semula oleh kerajaan.

 

Berdasarkan anggaran industri, kos mengerjakan sawah padi di Malaysia kini dianggarkan sekitar RM5,500 sehektar merangkumi kerja pembajakan, benih, racun, penggunaan jentera penuaian serta kos pengangkutan dan operasi ladang.

 

Pengerusi Lajnah Pertanian dan Keterjaminan PAS Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata dengan purata hasil sekitar 3.5 metrik tan sehektar, kos pengeluaran dianggarkan mencecah kira-kira RM1,500 bagi setiap tan padi. 

 

“Harga lantai padi sekarang RM1500/tan. Apa yang petani dapat selepas segala penat lelah dan pengorbanan? Jawabnya hanya dapat pahala kerana bekerja untuk memberi kita semua makan.

 

“Sebab itu sudah lama kita suarakan, adalah sangat kritikal sekarang untuk kerajaan mengkaji semula harga lantai padi yang sedia ada. Ia bukan tuntutan yang berlebihan tetapi suatu penyelarasan yang adil dengan mengambil kira semua kos pengeluaran yang perlu ditanggung pesawah. 

 

“Petani bukan nak jadi kaya raya. Mereka hanya menuntut sedikit ruang untuk bernafas. Tak sepatutnya pesawah dibiarkan bersendirian menanggung beban,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau  yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu menegaskan isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan kelangsungan hidup pesawah yang menjadi tulang belakang kepada bekalan makanan negara.

 

Tambahnya, sebarang semakan terhadap harga lantai padi perlu mengambil kira keseluruhan rantaian nilai industri beras termasuk pesawah, operator jentera pertanian, pengilang, pemborong, pengedar serta pengguna akhir, bagi memastikan ekosistem bekalan makanan negara berada dalam keadaan lebih seimbang.

 

Menurutnya, pendekatan menang-menang perlu dicapai supaya beban tidak hanya tertumpu kepada pesawah semata-mata, sebaliknya diagihkan secara adil dalam rantaian industri.

 

“Rantaian pengeluaran ini perlu dilihat secara menyeluruh. Kita inginkan semua pihak yang terlibat dalam proses menghasilkan makanan ruji samada pesawah, operator jentera pertanian, pengilang, pemborong dan pengedar beras seterusnya para pengguna berada dalam situasi menang-menang.

 

“Adalah tidak wajar jika beban berat diletakkan sebahagian besarnya ke atas bahu pesawah. Harga padi bukan bawah bidang kuasa negeri. Sebab itu Exco Pertanian memanfaatkan pelbagai platform untuk menyuarakannya termasuk dalam mesyuarat bersama Menteri agar isu ini diteliti sebaiknya oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa,” katanya. - DagangNews.com