KUALA LUMPUR 4 Feb - Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan Madani akan segera mengumumkan kadar harga lantai baharu padi bagi menyokong nasib petani komoditi itu di seluruh negara.
Malah Perdana Menteri menambah, subsidi untuk pengehadan harga kepada pengguna peringkat runcit bakal disediakan, sebagai sebahagian daripada usaha bagi melindungi keselamatan bekalan beras tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ujarnya, akan membentangkan satu kertas Kabinet mengenai isu tersebut kepada persidangan Dewan Rakyat pada sesi minggu depan.
Justeru beliau optimis dengan langkah segera itu yang bakal dapat menangani kebimbangan ramai pesawah berhubung harga asas yang ketika ini dianggap terlalu rendah bagi pembelian padi di peringkat kilang.
“Kita tidak boleh cakap sebelah pihak sahaja untuk membela pengguna tetapi memangsakan pesawah atau naik harga lantai padi untuk pesawah sehingga memangsakan pengguna kerana ramai B40 pula yang miskin.
“Selewat-lewatnya minggu depan akan ada penjelasan tuntas dengan pengumuman kenaikan harga lantai munasabah dan peningkatan subsidi dari pihak kerajaan,” katanya pada sesi Waktu Soalan Perdana Menteri.
Ia sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang menggesa kerajaan agar menaikkan harga lantai padi seperti digesa Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia.
Pada masa ini, harga lantai padi seluruh negara adalah RM1,300 satu tan, yang dinaikkan oleh kerajaan tahun lepas daripada hanya RM1,200 sebelum itu dan pihak kilang tidak dibenarkan membeli di bawah harga ini.
Kerajaan tegas Anwar, juga dijangka mengeluarkan sekurang-kurangnya RM150 juta sebagai subsidi dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan kelak proses untuk penstabilan harga pasaran beras tempatan.
"Kita kena ingat bahawa kenaikan harga lantai padi akan bawa pula kepada kenaikan harga beras untuk pengguna runcit akhir. Kerajaan tidak mahu harga meningkat sehingga membebankan rakyat," katanya.
Isnin minggu lepas, gabungan pesawah tersebut menggesa kerajaan supaya boleh mempertimbangkan cadangan supaya menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 satu tan kepada RM1,800.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob juga mengemukakan cadangan kepada Pejabat Perdana Menteri untuk menilai kembali keperluan mendesak yang dialami ribuan pesawah di seluruh negara ketika ini.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya usaha rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada Februari tahun lalu telah menyebabkan kepada peningkatan kos pengeluaran beras.
Sebaliknya tambah beliau, kerajaan telah bertindak dengan memasukkan kelompok pesawah dalam kalangan penerima bantuan insentif khas yang dikenali sebagai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi.
“Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM600 setiap tahun bagi setiap petani tersebut, yang sepatutnya mencukupi untuk menampung kos bahan api,” tambahnya. - DagangNews.com








